
Beliau berkata dalam menangani pandemik itu, langkah awal perlu bermula dengan orang ramai mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 dan mempengaruhi mereka di sekeliling.
“Kita perlu mengubah tingkah laku kita. Kita perlu membantu, fikirkan petugas barisan hadapan yang berjuang, bekerja keras dan tertekan,” katanya dalam sesi webinar bertajuk “Perniagaan Dalam Era Covid-19: Menetapkan Semula Senario Perniagaan dengan Covid-19”.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang bertindak sebagai moderator pada sesi berkenaan yang turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Associates Sdn Bhd Idris Jala.
Jemilah juga menzahirkan kebimbangan negara kurang maju mempunyai akses yang terhad kepada vaksin Covid-19 kerana negara kaya membeli lebih daripada yang mereka perlukan.
“Di mana kita akan mendapatkan vaksin kita jika semuanya dimonopoli oleh Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah? Di manakah peluang bagi negara yang kurang maju mendapatkannya?
“Hampir seperti aparteid, yang anda tahu, hanya orang yang memiliki sijil vaksin boleh melakukan perjalanan dan berniaga ketika negara membangun tidak memiliki akses,” kata beliau sambil menambah bahawa keadaan itu menuntut penyusunan semula nilai asas dan kemanusiaan.
Sementara itu, Idris Jala berkata, wabak Covid-19 muncul sebagai cabaran besar bagi perniagaan dengan perangkaan menunjukkan kira-kira 34,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini ditutup hingga Okt tahun lepas.
Beliau yang menggesa syarikat supaya mencipta semula diri dengan mempraktikkan ESSA (Eliminate, Simplify, Standardize and Automate – menghapuskan, memudahkan, menyeragamkan dan mengautomasikan), berkata: “Saya selalu memberitahu orang, dalam krisis seperti ini, jangan sia-siakan peluang, orang tahu perlu melakukan ESSA.
“Saya percaya menjadi suatu keperluan bagi setiap syarikat untuk melalui proses ESSA sementara masih dalam proses sekatan pergerakan. ”
Beliau mencadangkan agar kerajaan dan syarikat mengambil pendekatan usaha sama untuk beralih kepada teknologi digital dan memberi contoh tahun lepas sahaja, Amazon mencatat kenaikan 34%dalam jualan global kepada USD330 bilion, manakala Alibaba mencapai jualan USD74 bilion dalam sehari pada Nov.
“Ini adalah peluang besar bagi Malaysia untuk melonjak ke depan dalam digital. Ia tidak boleh dilakukan oleh kerajaan dengan bersendirian melakukan semua infrastruktur.
“Syarikat perlu bersama-sama dan mengambil kesempatan ini, daripada meratap tentang Covid-19,” katanya.