
Kesedihan itu lebih memilukan dan melukai hati kerana Firdaus sekeluarga tidak cukup wang untuk menguruskan jenazah kakaknya, sehingga terpaksa meminta bantuan saudara-mara.
“Khidmat pengurusan jenazah agak tinggi harganya dan waktu itu, saya dan keluarga kekurangan wang sehingga terpaksa meminjam daripada saudara-mara,” kata beliau kepada FMT.
Firdaus, yang lebih dikenali sebagai Apit berkata, itu kali pertama beliau menyedari bayaran khidmat van jenazah dan pengurusan jenazah boleh mencecah sehingga RM800.
Pengalaman itu membuka mata Apit.

Ia juga menjadi pencetus untuk menawarkan khidmat van dan pengurusan jenazah secara percuma kepada mereka yang tidak berkemampuan.
“Saya bertekad untuk membantu golongan yang susah seperti mana yang saya pernah alami dahulu,” kata Apit.
Pekerjaan Apit sebagai penghantar makanan tidak menjadi halangan untuk berbakti kepada masyarakat.
Beliau bersama seorang rakan, Shahrol Muhammad, mula meneroka idea khidmat pengurusan jenazah yang memerlukan sumber kewangan khususnya untuk memperolehi van jenazah.
Ogos lalu, berkat doa dan capaian sosial media, mereka merealisasikan hasrat murni itu.
Apit dan Shahrol menguar-uarkan niat mereka di media sosial pada sebelah pagi dan tidak perlu menunggu lama.

Pada hari sama, seorang yang tidak mahu dikenali tampil menderma van jenazah yang dikehendaki.
“Saya muat naik di media sosial untuk dapatkan van jenazah ini pada 9 pagi. Alhamdulillah, 5 petang saya dapat panggilan seseorang dari Pandan Jaya.
“Dia suruh datang ambil van yang beliau hendak wakafkan untuk khidmat masyarakat ini,” kata Shahrol.
Apit dan Shahrol mendaftarkan perkhidmatan sukarela mereka atas nama Setia Kasih Fardu Kifayah dan telah membantu 15 keluarga setakat ini.

“Matlamat kami ialah membantu golongan yang tiada berkemampuan dan memudahkan urusan pengebumian jenazah.
“Jika seseorang itu menawarkan wang sebagai upah kami, kami tidak menerima. Kami hanya menerima sumbangan atau derma atas nama pergerakkan kami,” kata Shahrol.
Mereka yang ingin membantu Setia Kasih Fardu Kifayah boleh menghantar pesanan WhatsApp di talian bantuan FMT iaitu 019-389 9839. Sila klik di sini untuk Whatsapp kami.