
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, tindakan itu sebahagian langkah persediaan rapi, sebelum KKM membuat penghantaran vaksin sebenar Covid-19 yang diperoleh untuk program vaksinasi di seluruh negara.
Beliau berkata, vaksin keluaran Pfizer-BioNTech perlu disimpan dalam suhu ultra sejuk -75 darjah Celsius (+/15 Celsius) yang memberi cabaran dalam proses pengagihan vaksin terbabit.
“Aktiviti ‘dry run’ penting bagi melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra sejuk -75 Celsius (+/-15 Celsius) terjamin sepanjang tempoh penghantaran dari pengilang ke destinasi luar bandar.
“Menerusi aktiviti ini juga akan menilai kebolehlaksanaan proses yang terbabit dalam pengendalian vaksin Covid-19 dan menguji pelaksanaan garis panduan pengendalian vaksin yang sudah dibangunkan di lapangan supaya pengedaran sebenar ke seluruh negara nanti berjalan lancar.
“Pasukan aktiviti ‘dry run’ ini diketuai Ketua Sektor Farmasi Kesihatan Awam KKM, Shantini Thevendran,” katanya dalam catatan Facebook.
Semalam, Klinik Kesihatan Belaga yang terletak 178km atau kira-kira empat jam perjalanan dari bandar terdekat, Bintulu (kira-kira 778km dari Kuching) melalui jalan darat dipilih sebagai lokasi latihan awal penghantaran vaksin Covid-19.
Adham berkata, aktiviti “dry run” di Hospital Bintulu itu turut dihadiri Timbalannya, Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata, KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi Covid-19, antaranya melalui perolehan bekalan vaksin berkualiti, selamat dan berkesan.
“Kelancaran kedua-dua latihan percubaan di Klinik Kesihatan Belaga semalam dan Hospital Bintulu hari ini amat penting dalam memastikan pelan imunisasi Covid-19 kebangsaan berjalan lancar di seluruh negara selepas ini,” katanya.