Eksport ke China capai tahap baru tahun lalu, kata Azmin

Eksport ke China capai tahap baru tahun lalu, kata Azmin

Menteri Kanan (Ekonomi), Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia menunjukkan prestasi 'cukup baik' dalam perdagangan luar dengan jumlah eksport mencecah RM95.7 bilion bulan lalu.

Azmin Ali berkata, eksport ke Amerika Syarikat turut mencapai tahap tertinggi dalam dekad lalu.
PETALING JAYA:
Eksport Malaysia ke China mencapai tahap tertinggi baru pada 2020, ketika negara menunjukkan prestasi “cukup baik” dalam perdagangan luar dengan jumlah eksport mencecah RM95.7 bilion pada Disember.

Menteri Kanan (Ekonomi), Mohamed Azmin Ali berkata, perkembangan sama turut dicapai dalam eksport ke Amerika Syarikat, dengan Malaysia mencatatkan nilai terbesar dalam dekad lalu.

“Terdapat pertumbuhan eksport signifikan ke pasaran negara berkembang, terutama Costa Rica, Kazakhstan, Kenya, Nigeria, Ghana dan Cote d’Ivoire.

“Produk getah, produk elektrik dan elektronik, serta produk minyak sawit dan pertanian berasaskan minyak sawit mencatatkan pengembangan eksport yang kuat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Malaysia mencatat surplus perdagangan tertinggi, mengekalkan trend lebihan dagangan untuk 23 tahun berturut-turut sejak 1998 dan prestasi negara seiring negara jiran serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Korea Selatan.

Katanya, prestasi eksport negara itu hasil pembukaan semula ekonomi secara berperingkat dan pemulihan permintaan luar, serta pemeteraian Perkongsian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan memberi akses kepada syarikat Malaysia ke pasaran lebih luas.

“Melangkah ke depan, keyakinan pelabur disokong pengesahan terbaru Moody’s mengenai penarafan terbitan jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3, dengan unjuran stabil.

“Ini adalah bukti kepada disiplin fiskal kuat kerajaan dan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kuat serta menunjukkan keyakinan Moody’s terhadap Malaysia mempunyai kedudukan kredit kukuh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.