62 sukarelawan kumpulan pertama sertai kajian klinikal vaksin Covid-19

62 sukarelawan kumpulan pertama sertai kajian klinikal vaksin Covid-19

Orang ramai boleh mendaftar sebagai sukarelawan bagi kajian klinikal fasa tiga itu dengan menghubungi 011-57669114.

Kajian klinikal yang ditaja Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China itu bertujuan menilai keselamatan dan keberkesanan vaksin terbabit terhadap jangkitan Covid-19. (Gambar KKM)
SUNGAI PETANI:
Seramai 62 sukarelawan menjadi kumpulan pertama di negara ini yang menerima suntikan bagi kajian klinikal fasa tiga vaksin Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) hari ini.

Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) HSAH, Dr S L Vijaya Kumar berkata, sukarelawan berusia 18 tahun ke atas itu dipilih daripada pelbagai latar belakang dan memiliki badan sihat.

Beliau berkata, jumlah itu sebahagian daripada 375 individu yang disasarkan untuk program berkenaan yang dijalankan secara berperingkat dalam tempoh sebulan di HSAH.

“Setiap sukarelawan akan menerima dua suntikan dan selepas suntikan pertama, mereka akan dipantau setiap minggu selama enam minggu untuk melihat kesan penerimaan atau reaksi badan mereka terhadap suntikan itu,” katanya di HSAH.

Beliau berkata, selepas suntikan pertama, setiap peserta akan disuntik untuk kali kedua pada hari ke-14 dan selepas pemantauan enam minggu pertama, mereka akan dipantau lagi setiap dua minggu melalui panggilan telefon selama setahun.

Sementara itu, Vijaya Kumar berkata, orang ramai boleh mendaftar sebagai sukarelawan bagi kajian klinikal itu dengan menghubungi 011-57669114.

Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, kajian itu dimulakan di sembilan hospital membabitkan 3,000 sukarelawan.

Beliau dilaporkan berkata, kajian klinikal itu ditaja Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan objektif untuk menilai keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19.

Sembilan hospital terlibat dalam percubaan klinikal di bawah penyelarasan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) itu ialah HSAH, Hospital Ampang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping dan Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan menerusi Twitter berkata, kajian sama turut dilakukan di Brazil. Kajian klinikal fasa pertama dan kedua sudah dijalankan di China.

Katanya, vaksin kajian itu menggunakan platform vaksin tidak aktif diperbuat daripada virus yang dimatikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.