
Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali berkata perintah itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Beliau berkata orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.
“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZone.
“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazani berkata, arahan itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha inap desa dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.