Periksa jika virus mutan punca lonjakan kes, kata ahli virologi

Periksa jika virus mutan punca lonjakan kes, kata ahli virologi

Lam Sai Kit berkata, kita mungkin terlepas pandang banyak kes positif yang disebabkan varian lebih baru kerana kekurangan ujian mencukupi.

Seorang ahli virologi UM berkata, vaksin mungkin perlu diubah sekiranya strain baru menyebabkan lonjakan kes Covid-19. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang ahli virologi meminta kajian ke atas strain tempatan Covid-19 bagi menentukan sama ada varian mutan lebih baru menjadi punca lonjakan empat angka dalam kes di Malaysia sejak dua minggu lalu.

Lam Sai Kit dari Universiti Malaya berkata, penjujukan genom adalah kunci untuk mengesan strain lebih baru dan lebih mudah berjangkit, seperti varian UK, Afrika Selatan dan Brazil.

Katanya, banyak kes positif yang disebabkan varian lebih baru mungkin terlepas pandang kerana kekurangan ujian mencukupi.

Beliau mengesyaki, strain lebih baru itu mungkin menyebabkan lonjakan kes sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Lam berkata, setakat ini, Malaysia hanya menyumbangkan 300 jujukan genom ke pangkalan data antarabangsa, berbanding 4,000 yang disediakan Thailand.

“Di Malaysia, pasti ada lebih banyak kes dalam kalangan masyarakat hingga menyebabkan lonjakan begitu besar kerana diketahui varian di UK dan tempat lain mempunyai daya penularan tinggi, sehingga 70% lebih tinggi berbanding strain biasa.”

Katanya, Malaysia harus berwaspada dengan varian baru Covid-19 ini. “Penting bagi Malaysia memantau varian virus dan menyumbang penemuan kita ke pangkalan data jujukan genom global.

“Kita harus dan boleh melakukan lebih banyak lagi. Sekiranya Kementerian Kesihatan tidak dapat melakukannya kerana beban kerja, makmal akademik dan swasta boleh membantu.”

Ketika ini, beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan dan KKM bertanggungjawab ke atas penjujukan genom.

Katanya, varian terbaru dari UK, Afrika Selatan dan Brazil menimbulkan kebimbangan vaksin sedia ada mungkin kurang berkesan terhadapnya.

“Belum ada bukti kukuh vaksin sedia ada tidak berkesan. Bagaimanapun, saintis menyuarakan kemungkinan varian Brazil dapat mengelak antibodi, yang akan mempengaruhi keberkesanan vaksin sedia ada.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.