
Norhanis Mohamad yang sebelum ini boleh melihat, memendam keinginan untuk belajar sama seperti rakan sebayanya, tetapi menghadapi kekangan kerana tidak mempunyai medium Braille kerana kedaifan hidup keluarganya.
Ibunya Asmiza Mustapha, 45, berkata Norhanis yang mesra dipanggil Kak Chik itu sempat mengenal huruf sejak memulakan persekolahan di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kadok pada Januari tahun lalu.
“Tetapi pada Mac ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dia tidak boleh ke sekolah, dia sangat minat membaca tetapi sekarang tidak boleh belajar dengan komputer biasa atau telefon pintar kerana kedua-dua matanya mengalami masalah saraf.
“Sehingga usia 12 tahun, Norhanis boleh lagi melihat, tetapi selepas itu saraf matanya semakin rosak sehingga menjejaskan penglihatannya. Buat masa ini, guru fisioterapi PDK Kadok datang ke rumah untuk mengajarnya cara memegang pensel supaya dapat menulis,” katanya ketika ditemui di Kampung Biah Perol.
Asmiza berkata, sebelum ini juga anak keempat daripada lima beradik itu boleh berjalan namun pada usia empat tahun, saraf badannya bermasalah dan kini Norhanis hanya mampu mengengsot selain turut mengalami sawan setiap hari akibat kekejangan otot.
Sejak berusia sembilan tahun, Asmiza berkata dia dan suami Mohamad Jaafar, 49, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas dan kini membuka kedai makan di Jalan Perol sudah lali berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi rawatan dialisis Norhanis.
“Setiap minggu, dia perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali dalam tempoh empat jam sekali rawatan, jadi sudah pasti memerlukan komitmen tinggi daripada kami terutama ayahnya yang berkorban masa dan tenaga untuk mendukung atau menolak kerusi rodanya,” katanya yang tinggal di rumah sewa dengan kadar RM300 sebulan.
Katanya, mereka turut mencari penderma buah pinggang Norhanis dan Asmiza sendiri mahu menjadi penderma tetapi mempunyai masalah berat badan dan berharap ada pihak yang sudi membantu anaknya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 013 5685854.