
Pada Dis lepas Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan sebanyak 10,000 rumah mampu milik untuk golongan muda akan dibangunkan.
Bagaimanapun, bekas timbalan menteri perumahan Raja Kamarul Bahrin berkata, adalah lebih baik kerajaan mengguna semula hartanah kosong di kawasan bandar.
“Oleh kerana kita kekurangan perumahan mampu milik untuk belia, mengapa tidak lihat pada apa yang kita sudah ada?” soal beliau.
Kamarul menggesa kerajaan menghapuskan beberapa karenah birokrasi atau mengecualikan yuran tertentu untuk menggalakkan pemilik menggunakan ruang milik mereka dengan lebih baik.

“Saya rasa ia boleh wujudkan (situasi) menang-menang kerana ia dapat menyediakan perumahan yang mampu milik dan pemilik boleh mengisi hartanah mereka.”
Pemaju juga boleh diberi insentif oleh kerajaan untuk melakukan kerja pengubahsuaian jika perubahan besar diperlukan.
Kamarul berkata, pihak berwajib perlu “lebih kreatif” dalam menyelesaikan lambakan hartanah dan masalah kekurangan perumahan mampu milik.
Katanya, hotel misalnya boleh mengubah sebahagian bilik mereka untuk sewaan jangka lama pada harga berpatutan bagi membolehkan mereka mengekalkan hasil pendapatan ketika pandemik.
Tahun lalu, lebih 63,000 hartanah siap, tetapi kosong dilaporkan di negara ini setakat Okt, iaitu peningkatan daripada 57,000 pada tahun sebelumnya.

Noor Rosly Hanif, seorang profesor pengurusan hartanah di Universiti Malaya, berkata, penukaran masih merupakan pilihan lebih murah berbanding pengambilan tanah dan pembinaan oleh pemaju.
Namun beliau berkata, sebarang langkah perlu menunggu sehingga ekonomi stabil daripada kesan pandemik.
“Penukaran masuk akal, tetapi kita perlu melihat apakah yang pasaran mahu terlebih dahulu, dan ia tidak akan jelas sehingga beberapa tahun lagi.”
“Selepas itu kita boleh lihat kawasan mana yang mempunyai permintaan untuk jenis hartanah mana, dan juga melihat apakah wujud cara untuk memenuhi dengan ruang yang diubah suai.”

Beliau berkata, normal baharu mungkin menimbulkan permintaan baharu untuk ruang kerja dan pejabat yang fleksibel, bukannya ruang yang besar, terutama untuk pekerja muda, yang boleh menjadi bidang baharu di mana usaha transformasi lebih efektif.
Bagaimanapun, pemaju hartanah yang berpangkalan di Melaka, Anthony Cho meragui kebolehanlaksanaan cadangan itu.
“Sekarang kita tak nampak permintaan untuk penukaran ini, dan kita tidak juga melihatnya datang daripada golongan B40 dan M40. Mereka tidak mencari tempat kediaman seperti ini.”
Katanya, pemaju akan selalu mengikuti permintaan pembeli, dan perlu melihat permintaan golongan belia sebelum mereka terlibat dalam projek sedemikian.