
Fahmi berkata, ia merupakan tuduhan jelik terhadapnya kerana beliau langsung tidak membangkitkan isu mengenai warga asing dalam kenyataannya sebelum ini.
“Yang saya bangkitkan adalah beban kos saringan untuk warga B40 tidak dijawab. Isu badan pengurusan bersama (JMB), itu berdasarkan kenyataan yang dilapor media, Akta 757 dan undang-undang perumahan adalah isu pokok,” katanya di Twitter.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh juga meluahkan di Twitter yang beliau sudah letih mengulangi perkara sama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama, dalam isu membabitkan prosedur operasi standard (SOP).
“Guna sains untuk buat SOP. Bila dah kena maki oleh rakyat, dia tuduh saya dan Fahmi pejuang warga asing,” katanya.
Reaksi kedua-dua Ahli Parlimen itu menyusuli kenyataan Ismail yang mendakwa Fahmi dan Yeoh adalah “pejuang warga asing” apabila mereka mempersoalkan kemampuan golongan B40 menanggung kos saringan Covid-19 yang tinggi sekiranya disyaratkan oleh bangunan kediaman.
“Bagi mereka, kos yang ditanggung oleh warga asing untuk saringan Covid-19 lebih berharga dari nyawa rakyat Malaysia,” kata Ismail di Twitter.
Menurut Ismail, tidak ada arahan atau polisi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mewajibkan penyewa, termasuk warga asing, atau pelawat, melakukan ujian Covid-19 sebelum memasuki pekarangan kediaman.
“Namun kawasan perumahan atau kondominium dan apartment tertutup adalah kawasan ‘private’ yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.
“Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat, contohnya di Sarawak, orang luar tidak dibenarkan melawat rumah-rumah panjang.
“Oleh itu, bagi menjamin keselamatan penghuni mereka, jika pengurusan membuat peraturan bahawa penyewa warga asing perlu buat saringan, maka itu hak mereka,” kata beliau di Twitter.