Bina lebih banyak hospital tak selesai Covid-19, kata penasihat khas PM

Bina lebih banyak hospital tak selesai Covid-19, kata penasihat khas PM

Sebaliknya, Dr Jemilah Mahmood berkata, orang ramai perlu mengubah tingkah laku mereka.

Dr Jemilah Mahmood berkata, untuk menangani pandemik itu, orang ramai perlu mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 dan mempengaruhi orang di sekeliling.
PUTRAJAYA:
Membina lebih banyak hospital tidak akan dapat menyelesaikan masalah Covid-19 sekiranya orang ramai tidak mengubah tingkah laku mereka, kata Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Dr Jemilah Mahmood.

Beliau berkata, dalam menangani pandemik itu, langkah awal perlu bermula dengan orang ramai mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 dan mempengaruhi mereka di sekeliling.

“Kita perlu mengubah tingkah laku kita. Kita perlu membantu, fikirkan petugas barisan hadapan yang berjuang, bekerja keras dan tertekan,” katanya dalam sesi webinar bertajuk: “Perniagaan Dalam Era Covid-19: Menetapkan Semula Senario Perniagaan dengan Covid-19”.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Zaini Ujang bertindak sebagai moderator pada sesi berkenaan yang turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd, Idris Jala.

Jemilah juga menyuarakan kebimbangan negara kurang maju mempunyai akses terhad kepada vaksin Covid-19 kerana negara kaya membeli lebih daripada yang mereka perlukan.

“Di mana kita akan mendapatkan vaksin kita, jika semuanya dimonopoli Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah? Di manakah peluang bagi negara yang kurang maju mendapatkannya?

“Hampir seperti aparteid, yang anda tahu, hanya orang yang memiliki sijil vaksin boleh melakukan perjalanan dan berniaga ketika negara membangun tidak memiliki akses,” katanya sambil menambah keadaan itu menuntut penyusunan semula nilai asas dan kemanusiaan.

Sementara itu, Jala berkata, Covid-19 muncul sebagai cabaran besar bagi perniagaan dengan perangkaan menunjukkan kira-kira 34,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini ditutup hingga Oktober 2020.

Beliau yang menggesa syarikat mencipta semula diri dengan mempraktikkan ESSA (Eliminate, Simplify, Standardize and Automate – menghapuskan, memudahkan, menyeragamkan dan mengautomasikan), berkata: “Saya selalu memberitahu orang, dalam krisis seperti ini, jangan sia-siakan peluang, orang tahu perlu melakukan ESSA. Saya percaya menjadi suatu keperluan bagi setiap syarikat untuk melalui proses ESSA, sementara masih dalam proses sekatan pergerakan.”

Beliau mencadangkan kerajaan dan syarikat mengambil pendekatan secara usaha sama untuk beralih kepada digital dan memberi contoh tahun lalu saja, Amazon mencatat kenaikan 34% dalam jualan global kepada AS$330 bilion, manakala Alibaba mencapai jualan AS$74 bilion dalam hanya sehari pada November.

“Ini adalah peluang besar bagi Malaysia untuk melonjak ke depan dalam digital, ia tidak boleh dilakukan kerajaan dengan bersendirian melakukan semua infrastruktur. Syarikat perlu bersama-sama dan mengambil kesempatan ini daripada meratap tentang Covid-19.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.