
Syarikat itu berkata, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja yang mendakwa wujud penyelewengan dalam pelantikan dua pengurus untuk Dana Penjana Nasional yang mendapat suntikan dana kerajaan sebanyak RM1.2 bilion.
Satu laporan berita mendakwa pengasas sebuah syarikat pengurusan dana ada kaitan dengan menteri kewangan melalui hubungan dengan kerabat diraja Selangor, manakala pengasas bersama syarikat kedua pula ialah sepupu Tengku Zafrul.
Penjana Kapital, yang menguruskan dana itu, berkata pelantikan pengurus dana dilakukan selepas melalui proses ketat melibatkan firma perunding bebas antarabangsa.
“Sebarang konflik kepentingan berpotensi, berdasarkan mana-mana hubungan keluarga terdekat dengan mereka yang membuat keputusan di Penjana Kapital atau firma perunding bebas, turut diisytiharkan semua pemohon dalam penyerahan mereka,” kata syarikat itu.
Cadangan pelantikan itu dihantar kepada lembaga pengarah. “Walaupun lembaga pengarah juga terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, keputusan untuk melantik lapan pengurus dana VC itu dibuat berdasarkan penilaian dan kriteria yang ditentukan terlebih dahulu.
Bulan lalu, Penjana Kapital berkata, ia menarik lapan pengurus dana VC untuk melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia sebagai sebahagian daripada program Dana Penjana Nasional.
Dana Penjana adalah program padanan dana dengan sasaran dana berjumlah sekurang-kurangnya RM1.2 bilion, dengan Penjana Kapital akan memadankan sehingga RM600 juta, berdasarkan padanan 1:1 membabitkan dana yang dikumpul daripada pelabur tempatan swasta dan asing.