Rentas negeri bukan punca kes naik, kerajaan digesa tarik balik larangan

Rentas negeri bukan punca kes naik, kerajaan digesa tarik balik larangan

Badan pemandu pelancong berpendapat membuka semula sempadan antara negeri akan memberi faedah kepada sektor berkaitan pelancongan.

Larangan perjalanan rentas negeri hanya memberi impak kecil kepada angka Covid-19, tetapi kesannya lebih besar kepada ekonomi, menurut Majlis Pemandu Pelancong Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menarik balik larangan ke atas pergerakan merentas negeri setelah Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, itu bukan penyumbang besar penularan kes Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemandu Pelancong Malaysia Jimmy Leong mengaku keadaan semasa bukan waktu terbaik untuk pelancongan. Namun membuka semula sempadan antara negeri akan memberi faedah kepada sektor berkaitan pelancongan seperti kedai makan dan pusat beli-belah.

“Perjalanan antara negeri mesti dibenarkan supaya ekonomi tidak terjejas. Setelah mengenal pasti sektor pembuatan dan pembinaan (sebagai penyumbang utama kenaikan kes Covid-19), kita harus menumpukan tenaga untuk membasmi penularan kes di bahagian-bahagian yang disasarkan ini,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Leong, had dua penumpang untuk satu kenderaan harus dikekalkan, sementara penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan amalan mencuci tangan mesti terus dititikberatkan.

Kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sempadan negeri pada 7 Dis walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negeri-negeri seperti Selangor dan Negeri Sembilan setelah jumlah kes Covid-19 yang tinggi dicatatkan.

Tetapi pergerakan merentas negeri dihalang semula apabila lima negeri dan tiga wilayah persekutuan diletakkan di bawah PKP pada 13 Jan. Bagaimanapun, baru-baru ini Ismail berkata perjalanan merentas negeri dibenarkan buat pasangan berkahwin yang tinggal berjauhan.

Pakar ekonomi Carmelo Ferlito mengalu-ngalukan kenyataan Ismail kerana menurutnya, larangan ke atas perjalanan merentas negeri bukan langkah tepat jika orang ramai tidak dibekalkan dengan informasi relevan tentang risiko yang dihadapi.

“Kita perlu meningkatkan pengumpulan data, analisis dan komunikasi. Kita juga perlu mengenal pasti dengan jelas kluster dan kadar kematian dalam kluster berkenaan.

“Contohnya, berapa banyak kluster di restoran dan kedai gunting rambut? Adakah kita perlu terus menutup kedai-kedai seperti itu? Ini penting untuk membuat keputusan tepat,” katanya.

Menurut Ferlito, sekarang perjalanan untuk perniagaan sudah dibenarkan dengan dokumentasi tertentu.

“Kita hanya perlu membuat keadaan lebih baik untuk perniagaan dan negara akan mendapat manfaat. Mesyuarat atau perbincangan secara dalam talian ada kekangannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.