‘Mana wang hadiah kami’, 2 peragawati saman Astro, syarikat produksi langgar kontrak

‘Mana wang hadiah kami’, 2 peragawati saman Astro, syarikat produksi langgar kontrak

Dua peragawati itu mendakwa Astro dan Keris Media Networks Sdn Bhd gagal memenuhi perjanjian berkaitan penyertaan mereka dalam sebuah pertandingan ratu cantik.

Astro menyiarkan pertandingan ratu cantik ‘Azhagin Alagi 2020’ di saluran Vinmeen tahun lalu. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Dua peragawati menyaman Astro dan sebuah syarikat produksi atas dakwaan mereka tidak memenuhi perjanjian bersabit sebuah pertandingan ratu cantik yang disiarkan tahun lalu.

R Durga Devi, yang dinobatkan sebagai juara, dan R Durrgah, pemenang tempat ketiga dalam pertandingan “Azhagin Alagi 2020” menuntut hadiah wang yang dijanjikan dalam pertandingan itu.

Mereka menamakan Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) dan Keris Media Networks Sdn Bhd sebagai defendan.

Durga Devi menuntut RM60,000, wang hadiah yang dijanjikan kepada juara dan Durrgah RM17,000.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Sesyen hari ini oleh Tetuan Asheeq Ali & Co, kedua-dua plaintif berusia 26 tahun itu, turut menuntut ganti rugi dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mereka mahukan perisytiharan Astro melanggar syarat kontrak dan kedua-dua defendan melakukan penipuan serta konspirasi.

Dalam pernyataan tuntutan itu, mereka mendakwa Astro menganjurkan pertandingan ratu cantik berkenaan dan melantik Keris Media untuk menguruskan rakaman serta produksi.

Pertandingan itu disiarkan di saluran Vinmeen Astro.

Sesi uji bakat dijalankan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Okt 2019 untuk memilih 20 finalis yang dikehendaki tinggal di sebuah vila di Rawang, Selangor selama 16 hari dilengkapi kemudahan internet dan akses telefon.

Mereka berkata, sembilan episod dirakam dari 11 Nov hingga 26 Nov 2019.

Vinmeen kemudian menyiarkan rakaman pertandingan itu dari 3 Sep hingga 8 Nov tahun lalu.

Kedua-dua plaintif berkata, menurut kontrak, mereka akan dibayar wang hadiah dalam tiga bulan dari 26 Nov 2019, apabila diumumkan sebagai pemenang dan tempat ketiga, namun itu tidak berlaku.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mewakili kedua-dua wanita terbabit, berkata kertas pertuduhan itu akan diserahkan kepada defendan setelah salinan yang dimeterai itu diperoleh dari mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.