
Peguam Kanan Persekutuan, Mankiranjit Kaur berkata, tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes di depan Timbalan Pendaftar, Darmafikri Abu Adam.
Mohd Kassim Abdul Hamid, bapa kepada anggota bomba, Muhammad Adib, memfailkan permohonan ex parte untuk perintah komital terhadap Thomas kerana didakwa menghina mahkamah apabila memfailkan afidavit dari Pejabat Peguam Negara pada 3 April 2019.
Afidavit itu dilaporkan mendakwa kematian anaknya bukan akibat kecederaan dialami Adib.
Kassim turut menuduh Thomas menghina mahkamah apabila mengeluarkan kenyataan media pada 28 Mei 2019, ketika inkues kematian anaknya masih berlangsung.
Koroner, Rofiah Mohamed membenarkan prosiding menghina mahkamah itu diteruskan selepas memeriksa dokumen dan afidavit difailkan kedua-dua pihak. Menurutnya, bapa Adib telah membuktikan kes prima facie terhadap Thomas.
Pada 28 Jan 2020, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Meor Hashimi Abd Hamid berkata, Mahkamah Koroner mempunyai budi bicara untuk memberi izin memulakan prosiding komital terhadap Thomas.
Beliau bagaimanapun melepaskan Thomas daripada prosiding menghina mahkamah disebabkan perkara material yang tidak didedahkan Kassim.
Sementara itu, Mankiranjit berkata, pada hari sama, Mahkamah Rayuan juga akan mendengar rayuan Kassim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membatalkan rayuan difailkan Thomas.
Peguam Aidil Khalid hadir bagi pihak Kassim ketika pengurusan kes.
Pada 27 Sept 2019, Rofiah memutuskan “lebih daripada dua orang yang tidak dikenali” menyebabkan kematian Adib, yang meninggal dunia akibat kecederaan dialami ketika dikerahkan ke lokasi rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman.
Adib, 24, anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar kuil di USJ 25, Subang Jaya itu pada 27 Nov 2018 sebelum meninggal dunia pada 17 Dis tahun sama di Institut Jantung Negara.