
Dalam pemeriksaan berasingan di lima premis terbabit, pihak KPDNHEP percaya peralatan eletronik seperti komputer riba, mesin pencetak, telefon bimbit dan tablet dijual pada harga mahal susulan permintaan tinggi sepanjang tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini.
“Kami mendapati bekalan peralatan elektronik mencatatkan jualan tinggi, terutama mesin pencetak dan komputer riba.
“Hasil pemeriksaan yang dibuat, pihak kami mengeluarkan lima notis kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga,” kata Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas, hari ini.
Beliau berkata, notis itu bertujuan mendapatkan butiran harga jualan dan kos peralatan itu.
“Ia bagi tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan untung berlebihan atau sebaliknya dan peniaga terbabit diberi tempoh dua hari untuk membekalkan maklumat yang diarahkan KPDNHEP.”
Terdahulu, Georgie berkata, Ops Catut 8.0 yang akan dilaksanakan sehingga 8 Feb ini bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga, susulan PdPR yang bermula 20 Jan lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata, semua peniaga diingatkan tidak menaikkan harga peralatan elektronik secara tidak berpatutan.
“Jika didapati berlakunya pengambilan untung berlebihan, tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan diambil terhadap peniaga yang terbabit.
“Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan mengikut akta itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi mana-mana pertubuhan, perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah akta ini juga selanjutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000.”