Wakil rakyat PH cabar tindakan PM nasihat Agong isytihar darurat di mahkamah

Wakil rakyat PH cabar tindakan PM nasihat Agong isytihar darurat di mahkamah

Tiga wakil rakyat PH itu berkata, Klausa 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat tidak berperlembagaan.

Permohonan tiga wakil rakyat PH itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
PETALING JAYA:
Tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub (Amanah), Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul (PKR) dan Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP) memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk mencabar nasihat Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Permohonan ini bagi membolehkan Klausa 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat yang dikatakan tidak berperlembagaan disemak oleh mahkamah,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

“Permohonan ini juga bagi membolehkan kuasa-kuasa oleh perdana menteri dan dan Kabinet serta menteri besar, ketua menteri dan Exco negeri yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen atau DUN disemak oleh mahkamah.”

Salahuddin dan Johari turut memfailkan permohonan itu atas kapasiti Adun Simpang Jeram serta Adun Gurun.

Semalam, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, bekas ahli Umno dan PPBM, Khairuddin Abu Hassan memfailkan saman terhadap Muhyiddin dengan mendakwa beliau tidak mempunyai keabsahan untuk menasihati Agong mengisytiharkan darurat.

Pada 12 Jan lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.