
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Che Deris Mohammad Fadzil Mat il berkata, kira-kira 30% murid di sekolahnya, terutama yang menetap di perkampungan nelayan, tidak mampu memiliki telefon pintar.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah mengesan dan memperoleh maklumat murid daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak memiliki telefon pintar untuk PdPR, lapor Berita Harian.
Mohammad Fadzil berkata, pihaknya berharap masalah murid di sekolahnya yang tidak memiliki telefon pintar untuk mengikuti PdPR dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
“Saya bersama guru dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan juga individu persendirian dalam proses mengumpul dana bagi membantu murid kurang berkemampuan memperoleh peranti dalam pembelajaran norma baharu,” katanya .
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada keluarga seorang daripada muridnya di Kampung Tanjung Baru.
Rosnani Ibrahim, 43, berkata dia berterima kasih kepada pihak sekolah yang memberi satu telefon pintar untuk kegunaan dua anaknya berusia lapan dan sembilan tahun mengikuti PdPR.
“Dengan sumbangan telefon pintar ini, sekurang-kurangnya dapat melancarkan pembelajaran anak dan membolehkan mereka menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru masing-masing.
“Sebelum ini dua anak saya iaitu Fatin Nur Aimi Shahira Yaso’, 8, dan Muhammad Alif Irfan, 9, tidak dapat mengikuti PdPR seperti rakan lain kerana saya hanya menggunakan telefon biasa.
“Dengan sumbangan telefon pintar ini, sekurang-kurangnya dapat melancarkan pembelajaran anak dan membolehkan mereka menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru masing-masing,” kata Rosnani.
Suaminya, Yaso’ Ghani, 47, sebelum ini menjual ikan tetapi terpaksa berhenti kerja sejak lebih setahun lalu disebabkan masalah kesihatan.
Beliau kini bekerja sebagai tukang sapu di sebuah asrama sekolah dengan pendapatan RM1,040 sebulan yang hanya untuk cukup menampung belanja makan mereka sekeluarga,
Mohammad Fadzil berkata, kemiskinan tidak boleh dibiar mengekang proses pembelajaran murid dalam ‘norma baharu’ sekarang.
“Kami tidak mahu murid-murid ini tercicir atau ketinggalan mengikuti pembelajaran secara dalam talian disebabkan tidak mempunyai telefon pintar atau peranti yang bersesuaian untuk PdPR.
“Kaedah PdPR yang diaktifkan semula bagi sesi persekolahan pada minggu lalu dilihat sebagai kaedah terbaik ketika ini bagi mengekang peningkatan kes Covid-19.
“Namun sebagai guru, kami tidak boleh berpeluk tubuh sebaliknya perlu berusaha membantu mereka supaya tidak tercicir dalam pelajaran,” kata beliau.