RM15 juta untuk baiki Jalan Paitan-Kanibungan mendap dan rosak, kata Bung

RM15 juta untuk baiki Jalan Paitan-Kanibungan mendap dan rosak, kata Bung

Timbalan ketua menteri Sabah itu mahu jalan itu disiapkan dalam empat atau lima bulan.

Bung Moktar Radin (tengah) meninjau keadaan di Jalan Paitan-Kanibungan yang mendap dan rosak akibat tanah runtuh selepas hujan lebat minggu lalu. (Gambar Kementerian Kerja Raya Sabah)
BELURAN:
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin berkata, kira-kira RM15 juta diperlukan untuk membaik pulih Jalan Paitan-Kanibungan yang mendap dan rosak akibat tanah runtuh selepas hujan lebat minggu lalu.

Beliau yang juga menteri kerja raya Sabah berkata, pihaknya akan meminta laporan daripada pakar terlibat dalam pembinaan jalan itu bagi membolehkan kerja dimulakan secepat mungkin.

“Banyak kerja teknikal perlu dibuat dalam menentukan bajet ini, namun saya mahu jalan berkenaan siap dalam tempoh empat atau lima bulan dari sekarang,” katanya selepas meninjau keadaan di jalan itu.

Pada 19 Jan lalu, jalan itu bersama kuarters pekerja loji rawatan air Paitan yang terletak berhampiran mendap akibat hujan lebat berterusan di beberapa daerah di Sabah.

Bung berkata, kerosakan jalan itu menjejaskan penduduk sekitar, termasuk dari segi ekonomi.

“Apabila jalan ini putus, sudah tentu pengusaha sawit tidak dapat menghantar buah sawit mereka ke kilang-kilang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.