MAB kumpul dana untuk beri makanan kepada 3,000 tukang urut buta masa PKP 2.0

MAB kumpul dana untuk beri makanan kepada 3,000 tukang urut buta masa PKP 2.0

Setelah 100 hari tanpa perniagaan tahun lalu, dan tidak tahu bila PKP akan berakhir Persatuan Untuk Orang Buta Malaysia (MAB) berharap dapat membekalkan makanan untuk ahlinya.

Persatuan Untuk Orang Buta Malaysia bantu ahlinya yang terkesan akibat sekatan pergerakan kerana wabak Covid-19.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengkuatkuasaan semula PKP meletakkan ahli Persatuan Untuk Orang Buta (MAB) kembali dalam kesusahan kerana tidak berupaya mencari pendapatan bekerja sebagai ahli terapi urut.

Dengan pendapatan harian ahli terputus, MAB melancarkan inisiatif dengan kerjasama Asia School of Business untuk membekalkan makanan kepada 3,000 tukang urut cacat penglihatan yang terpaksa menghentikan aktiviti perniagaan mereka.

“Kami harap orang ramai tampil membantu golongan cacat penglihatan yang punca pendapatan terjejas teruk,” kata ketua pegawai eksekutif MAB George Thomas kepada FMT.

Katanya setiap bakul makanan atau pakej bernilai RM125 mengandungi beras, mi, minyak, susu dan lain keperluan dan adalah diharapkan dapat membantu meringankan sedikit bebanan yang ditanggung. Sehingga kini projek itu menerima RM70,000.

Tanpa tahu bila tukang urut boleh menyambung khidmat mereka, MAB berharap dapat menambah atau mengisi semula bekalan keperluan dari semasa ke semasa.

“Setiap pakej boleh digunakan oleh keluarga empat atau lima orang selama dua minggu,” kata Thomas.

Ketika PKP dikenakan Mac lalu, premis urut dan spa ditutup selama lebih 100 hari sehingga Jun bila ia dibenarkan dibuka semula. Ia adalah antara sektor yang paling lewat diberi lampu hijau kerajaan untuk menyambung operasi.

Subramaniam Ramiah, yang mengendalikan perniagaan urut tradisional bersama isterinya di Shah Alam bimbang masa depan tidak menentu kerana tidak dapat mengagak apa yang akan terjadi akibat wabak Covid-19 dan PKP.

“Semasa PKP pertama kami kehilangan purata RM1,600 setiap bulan. Kami kini bergantung kepada elaun kurang upaya RM450 setiap bulan utuk menampung perbelanjaan sewa, makanan dan lain keperluan.

“Sebagai orang yang cacat penglihatan tidak banyak yang boleh dilakukan. Takkanlah kami boleh menjadi pemandu Grab atau pegawai keselamatan… Orang yang keluar jual tisu pun amat susah sekarang”.

Thomas berharap golongan cacat penglihatan akan menerima bantuan kewangan tambahan daripada kerajaan kerana mereka kini dalam kesusahan.

Sesiapa yang mahu membantu boleh mendapat maklumat dibawah dan penderma akan diberi pengecualian cukai jika mereka menghantar slip transaksi, nama, alamat dan nombor telefon kepada [email protected].

Bank Name: Maybank Berhad
Nama: Malaysian Association for the Blind
Nombor Akaun : 514057637836
Swift Code: MBBEMYKL
Nota rujukan : covid19 ASB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.