
Cerdik, inisiatif rintis yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan norma baharu pelajaran dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran luar bilik darjah.
Yayasan Hasanah yang merupakan sekretariat inisiatif tersebut, menerusi kenyataan menjelaskan usaha berkenaan melibatkan sumbangan bernilai RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Petroliam Nasional Bhd.
Pemilihan pelajar dan sekolah untuk inisiatif Cerdik akan ditentukan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut yayasan itu, KPM akan memutuskan secara teliti mengenai spesifikasi perkakasan dan perisian bagi memastikan pelaksanaan mampan, termasuk sokongan jaminan, kebolehgunaan dan jangka hayat lebih lama untuk pembelajaran digital masa depan.
Ketua Setiausaha KPM, Yusran Shah Mohd Yusof berkata, pihak kementerian mahu merapatkan jurang pembelajaran antara yang mampu memiliki peranti digital dengan yang kurang bernasib baik.
“Kami berharap inisiatif ini akan merintis model-model pembelajaran digital untuk penggunaan pada masa depan,” katanya.
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata pihaknya komited menyokong model pembelajaran inovatif dan berskala yang menggalakkan kesaksamaan serta peluang sama rata untuk membolehkan akses kepada pembelajaran berkualiti bagi semua.
“Yayasan Hasanah bekerjasama rapat dengan KPM dalam merancang inisiatif Cerdik untuk memastikan pelaksanaan secara mampan, dan kami berusaha ke arah mempercepat pengagihan (mulai Feb dan seterusnya),” katanya.