Kekurangan buruh, bukan penurunan harga boleh lumpuhkan industri minyak sawit

Kekurangan buruh, bukan penurunan harga boleh lumpuhkan industri minyak sawit

Menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah, penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing estet boleh menjejaskan prestasi industri dengan ketara.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah mendapati pengurangan buruh sebanyak 30% akan menyebabkan pengeluaran minyak sawit menurun hampir separuh.
KUALA LUMPUR:
Kekurangan buruh memberi kesan lebih parah terhadap industri minyak sawit berbanding penurunan harga global, baik kepada estet mahupun pekebun kecil, menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Kajian “Implications of the Dominant Shift to Industrial Crops in Malaysia: System Dynamic Model of Industrial Crops” yang baru diterbitkan KRI mendapati pengurangan buruh sebanyak 30% daripada paras semasa akan menyebabkan pengeluaran menurun hampir separuh.

“Pengurangan sebanyak 80% akan menyebabkan keruntuhan sistem kerana pengeluaran hanya mencapai 1/5 daripada paras biasa,” menurut KRI dalam kenyataan.

Ketua penyelidik, Fatimah Mohamed Arshad yang juga felo pelawat kanan KRI berkata, penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing estet boleh menjejaskan prestasi industri dengan ketara.

“Maka, pemain industri perlu akur sepenuhnya dengan SOP Covid-19, memperbaiki perumahan pekerja dan menerapkan pendigitalan untuk mengurangkan penggunaan tenaga manusia dalam beberapa proses pengeluaran.”

Menurut KRI, kajian itu bertujuan mengenal pasti campur tangan polisi utama ke arah pencergasan semula sektor pertanian menggunakan kaedah permodelan sistem dinamik.

Katanya, objektif khususnya adalah mengenal pasti faktor institusi, struktur dan polisi yang menyebabkan peralihan besar penanaman kelapa sawit; mengenal pasti faktor yang menyebabkan produktiviti rendah; membina model sistem dinamik untuk menerangkan kaitan antara faktor ini serta melaksanakan simulasi polisi campur tangan alternatif.

Kajian ini mendapati sektor itu akan berdepan paras siling keluasan tanah untuk kelapa sawit yang dihadkan seluas 6.5 juta hektar menjelang 2023 dengan 5.9 juta hektar diusahakan estet dan 986,000 hektar oleh pekebun kecil (17%) pada 2019.

Ia turut mendapati sokongan pembangunan ke atas pekebun kecil akan memberi impak lebih besar ke atas pulangan per hektar berbanding estet.

Bagi mengurangkan pergantungan kepada tanah demi meningkatkan pengeluaran dan pulangan, hasil buah tanda bersih (BTB) sehektar boleh ditingkatkan melalui pemesatan tanaman semula dan mengurangkan kos input (selain buruh).

“Lazimnya, purata pecahan penanaman semula sektor kelapa sawit sekitar 12%. Bererti, 12% daripada keluasan kelapa sawit yang terlebih matang ditanam semula setiap tahun.

“Namun, mengikut simulasi kajian, pecahan tanaman semula optimum yang memberi hasil BTB tinggi adalah 15% untuk estet dan 17% bagi pekebun kecil,” menurut KRI.

Ia menekankan pada masa sama, sokongan pembangunan kepada pekebun kecil akan memberi impak besar ke atas pulangan, manakala pelaburan kepada pekebun kecil akan menjana pertumbuhan inklusif, agihan yang setara sekali gus kelestarian industri kelapa sawit.

Menurut KRI, sejarah menunjukkan Malaysia pernah menerajui sebagai pengeluar utama dunia getah dan koko, bagaimanapun dari semasa ke sesama, berlaku peralihan besar kepada kelapa sawit.

Fatimah menjelaskan kajian itu mendapati peralihan besar kepada penanaman kelapa sawit dipacu pulangan tinggi berbanding getah dan koko.

Daripada lapan juta hektar tanah pertanian di Malaysia, hampir 3/4 atau enam juta hektar ditanam kelapa sawit, manakala bahagian getah dan koko semakin berkurangan masing-masing pada 14% serta 2%.

“Hanya 10% tanah pertanian digunakan untuk komoditi makanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.