16 bekas ahli Umno cabar keputusan JPPM, bukan keputusan parti

16 bekas ahli Umno cabar keputusan JPPM, bukan keputusan parti

Peguam mereka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah semua ahli Umno terbabit bukan mencabar keputusan dalaman parti politik itu secara langsung.

Mohd Hafarizam Harun berkata, remedi daripada mahkamah tidak lagi diperlukan kerana ia akan menjejaskan semua pihak dalam Umno dan menambah semua perayu tidak mempunyai locus standi kerana keahlian mereka telah ditamatkan.
PUTRAJAYA:
Enam belas bekas ahli Umno mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang memberikan lanjutan masa untuk parti itu mengadakan pemilihannya dan bukan keputusan parti politik itu berbuat demikian, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Peguam mereka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah semua ahli Umno terbabit bukan mencabar keputusan dalaman parti politik itu secara langsung.

Beliau berkata, kumpulan itu mencabar keputusan JPPM atas alasan lanjutan masa yang diberikan dicemari kepenyalahan undang-undang, keadaan tidak rasional dan prosedur salah.

Haniff Khatri berhujah hakim Mahkamah Tinggi dan panel hakim Mahkamah Rayuan menyalahletakkan kebergantungan terhadap Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan 16 bekas ahli Umno terbabit untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kesahan parti politik itu atas alasan Seksyen 18C menyatakan seorang ahli tidak boleh membawa pertikaian berkaitan parti ke mahkamah.

Bekas ahli Umno terbabit ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Haniff Khatri juga berkata, Seksyen 18C tidak terpakai dalam kes ini kerana ia tidak membabitkan keputusan JPPM dan hanya terpakai kepada keputusan parti politik.

Terdahulu, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed membangkitkan isu sama ada keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan betul dari segi fakta, apabila bergantung kepada Seksyen 18C serta sama ada seksyen itu relevan dengan persoalan undang-undang dalam rayuan ini.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Rahman Sebli, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang. Prosiding itu berlangsung menerusi aplikasi Zoom.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan pula berhujah perayu sebenarnya mencabar keputusan parti politik itu, sambil menambah permohonan itu dibuat bagi melangkau Seksyen 18C.

Mahkamah turut mendengar hujah berhubung isu locus standi (atau hak perundangan) bekas ahli Umno terbabit untuk memfailkan semakan kehakiman dan sama ada perkara itu bersifat akademik.

Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Ab Rauf Yusoh, berhujah isu dibangkitkan perayu berhubung keputusan anak guamnya memberikan lanjutan masa bagi mengadakan pemilihan parti tidak lagi wujud kerana ia dijalankan di semua peringkat pada Jun 2018.

Oleh itu, katanya, remedi daripada mahkamah tidak lagi diperlukan kerana ia akan menjejaskan semua pihak dalam parti tersebut dan menambah semua perayu tidak mempunyai locus standi kerana keahlian mereka telah ditamatkan.

Semua 16 bekas ahli Umno itu memfailkan permohonan untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman dan menamakan JPPM serta Ab Rauf, dalam kapasiti beliau sebagai penjawat awam, selaku responden.

Antara lain, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan JPPM seperti yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018 dalam memberikan Umno lanjutan masa untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019, yang melepasi tempoh maksimum.

Mereka selanjutnya memohon perintah mandamus bagi memaksa JPPM membubarkan sementara Umno dan menggantung semua aktiviti parti itu sehingga semakan kehakiman tersebut selesai.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kumpulan itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dan mereka juga gagal di peringkat Mahkamah Rayuan pada Nov 2018.

Tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan berhubung dua persoalan perundangan.

Mahkamah itu akan menetapkan tarikh lain untuk menyambung pendengaran rayuan tersebut dan semua pihak diarah memasukkan hujah tambahan berhubung isu sama ada Seksyen 18C terpakai dalam semakan kehakiman berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.