
Bekas timbalan menteri Logan Bala Mohan berkata, kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi membangunkan pelan data akses internet itu.
“Ia akan menjadi pakej internet khas, dengan harga yang sangat rendah, kalau pun bukan percuma.
“Kerajaan kemudian boleh berperanan sebagai fasilitator dan mendapatkan kerjasama syarikat korporat serta bank, yang masih meraih keuntungan berbilion ringgit, untuk menaja pelan internet ini,” katanya kepada FMT.
“Saya juga berharap syarikat telekomunikasi tidak akan terlalu mementingkan keuntungan pada masa ini.”
Dengan sekolah masih ditutup di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), murid sekolah perlu mengikuti pelajaran mereka melalui internet.
Bagaimanapun kanak-kanak daripada keluarga miskin ketinggalan kerana kekurangan akses internet dan ketiadaan peranti digital.

Loga Bala berkata, Putrajaya perlu segera menggubal rancangan bagi memastikan pelajar miskin mendapat akses pembelajaran dalam talian.
“Ramai yang tinggal di ladang, kampung dan rumah pangsa kos rendah yang tidak memiliki peranti atau akses internet.
“Sebahagian keluarga ini mungkin mempunyai hanya satu telefon pintar dan pelan data terhad, dan pada masa sama mempunyai lebih daripada seorang anak,” katanya.
Beliau mempersoalkan kurangnya tindakan kerajaan berkait akses kepada pembelajaran dalam talian.
“Kita sudah tahu daripada PKP pertama (pada Mac tahun lalu), wujud isu dalam pembelajaran dalam talian. Apakah yang sudah dibuat untuk menyelesaikannya?”
Loga Bala berkata Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Beliau mempersoalkan bilakah kerajaan akan melaksanakan rancangan pengagihan 150,000 komputer riba.
Beliau berkata, kebanyakan keluarga berpendapatan rendah tidak mampu membeli pakej data jalur lebar tanpa had dan hanya mampu membayar pelan data mudah alih yang lebih murah.