
Komandernya Muhd Zailani Abdullah berkata lelaki berumur 51 yang juga pemilik rumah berkenaan ditahan dalam serbuan kira-kira 4.30 petang, dipercayai menyimpan mercun itu sebagai bekalan untuk memenuhi permintaan pasaran sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut tidak lama lagi.
Beliau berkata operasi itu dijalankan susulan maklumat orang awam berhubung aktiviti penyimpanan mercun.
“Kami berjaya menemui 43 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun di dalam sebuah lori yang diletakkan di hadapan rumah, sebelum turut menemui 17 lagi kotak mercun di bahagian garaj,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
“Kesemua mercun dan bunga api yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM80,000 manakala lori yang digunakan untuk menyimpan barangan itu telah disita, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM160,000,” tambahnya.
Muhd Zailani berkata kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1959 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.
Sementara itu di Port Dickson, Negeri Sembilan, seorang penganggur yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan petugas Sekatan Jalan Raya Op Covid-19 Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson di hadapan Balai Polis Lukut, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata lelaki itu memandu kenderaan jenis Perodua Alza dari arah Seremban menghala ke Port Dickson bersama seorang rakannya berusia 24 tahun semasa ditahan dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu.
Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata kedua-dua lelaki itu dikenakan kompaun kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan penganggur itu disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.