
Beliau berkata, cadangan itu bagi mengatasi kebimbangan berhubung peningkatan penularan wabak itu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan membenarkan pesakit Covid-19 tahap 1 dan 2 menjalani kuarantin di rumah sendiri.
“Saya ingin mencadangkan agar syarikat milik kerajaan yang mempunyai perniagaan hotel, membantu kerajaan ketika ini dengan membenarkan premis mereka digunakan dan dijadikan pusat kuarantin bagi menampung lambakan pesakit Covid-19 semasa.
“Kos untuk mendiami hotel ini, dicadangkan ditanggung oleh pesakit yang berkemampuan seperti proses kuarantin individu dari luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selain hotel milik syarikat kerajaan, pihak swasta yang mahu melakukan perkara sama boleh dikecualikan cukai tahunan sebagai timbal balik atas keprihatinan mereka membantu usaha memerangi wabak Covid-19.

“Ia secara tidak langsung dapat membantu perniagaan hotel yang terjejas kini,”katanya.
Mustafa turut mencadangkan kerajaan menggunakan premis kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kosong sebagai pusat kuarantin baharu bagi menampung lambakan pesakit di hospital dan pusat kuarantin sedia ada.
“Sekiranya fasiliti ini diguna pakai kelak, ia sedikit sebanyak akan membantu kerajaan menangani lambakan pesakit Covid-19 di seluruh negara dan menjimatkan kos untuk mewujudkan pusat kuarantin baharu,”katanya.
Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 4,275 kes baharu Covid-19 dengan tujuh kematian.
Jumlah jangkitan Covid-19 yang direkodkan di negara ini kini ialah 180,455 kes.
Dalam pada itu, 42,769 sedang dirawat dengan 260 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 103 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.