
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berumur 26 hingga 28 tahun itu ditahan hasil aduan mangsa yang menyangka beliau sudah melangsaikan hutangnya sembilan tahun lalu.
Beliau berkata, mangsa lelaki berumur 31 tahun itu dilaporkan pernah membuat pinjaman peribadi RM500 daripada sebuah syarikat swasta dipercayai berlesen pada 2012.
“Mangsa diminta membuat bayaran balik sebanyak RM1,150 sebulan selama setahun dan dikatakan meminta kad ATM miliknya yang dipegang syarikat berkenaan dibatalkan kerana merasakan telah melangsaikan pinjaman itu pada 2013,” katanya dalam kenyataan.
Nik Ezanee berkata, mangsa kemudian kembali membuat pinjaman peribadi pada 2016 dalam laman sosial yang disangkakan daripada sebuah syarikat koperasi.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang ejen pemasaran bersama rakannya yang membawa mangsa ke syarikat sama, di mana dia pernah membuat pinjaman sembilan tahun lalu.
“Ejen berkenaan mengatakan mangsa masih mempunyai baki tunggakan pinjaman sebanyak RM8,000 yang perlu dilangsaikan. Mangsa kemudian diugut sekiranya gagal membuat bayaran baki berkenaan pada masa ditetapkan.
“Hasil semakan rekod lampau dibuat polis turut mendapati seorang daripada empat suspek berkenaan dikehendaki bersabit kes along sebelum ini.”