Kami ada kuasa siasat kematian dalam tahanan, tegas Suhakam

Kami ada kuasa siasat kematian dalam tahanan, tegas Suhakam

Undang-undang membenarkan Suhakam menyiasat sebarang dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, kata seorang pesuruhjaya.

Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai berkata, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia memberi mandat kepada suruhanjaya itu untuk membuat siasatan sendiri atau sebagai respons kepada aduan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, ia mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan kematian dalam tahanan atau sebarang pelanggaran hak asasi manusia kecuali perkara yang dibicarakan di mahkamah.

Pesuruhjaya Mah Weng Kwai berkata, Akta Suhakam memberi mandat kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan sendiri atau sebagai respons kepada aduan.

“Dalam perkataan lain, kami tidak perlu menunggu laporan dibuat kepada Suhakam sebelum inkuiri boleh dimulakan,” katanya kepada FMT.

“Selagi sesuatu dakwaan mendapat perhatian kami, maka kami boleh memulakan (siasatan).”

Beliau berkata, satu-satunya keadaan yang menghalang suruhanjaya berbuat demikian ialah apabila sesuatu perkara itu sudah berada dalam inkuiri kehakiman.

“Jadi, jika semasa inkuiri kami isu yang disiasat itu muncul di mahkamah, maka menurut undang-undang, kami perlu menangguhkan inkuiri,” tambahnya dengan memetik Seksyen 12 (2) Akta Suhakam.

M Visvanathan, yang mengetuai sebuah kumpulan dipanggil EDICT (Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan), sebelum ini berkata, inkuiri berhubung dakwaan kematian dalam tahanan tidak termasuk dalam bidang kuasa Suhakam.

Mengulas laporan terbaru suruhanjaya itu mengenai kematian yang berlaku di lokap polis dan pusat tahanan, Visvanathan berkata, siasatan berhubung kematian dalam tahanan hanya terletak di bawah bidang kuasa dan fungsi mahkamah koroner di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam kes G Jestus Kevin, yang ditemui mati di lokap balai polis Bentong tahun lalu, Suhakam berkata, mangsa meninggal dunia akibat meningoencephalitis (keradangan otak) dengan beberapa kesan kecederaan akibat objek tumpul.

Visvanathan, yang juga peguam mewakili keluarga Kevin dalam inkues yang masih berjalan di Kuantan itu berkata, beliau telah menghantar surat kepada suruhanjaya terbabit.

Seorang lagi pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph memberitahu FMT, inkuiri suruhanjaya ke atas kes terbabit tamat pada Apr lepas, iaitu beberapa bulan sebelum bermulanya inkues.

Justeru tambah beliau, ia tidak melanggar Akta Suhakam.

“Laporan itu baharu saja dikeluarkan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), tetapi ia disiapkan lebih awal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.