APMM tahan 16 nelayan Vietnam ceroboh perairan Terengganu

APMM tahan 16 nelayan Vietnam ceroboh perairan Terengganu

Turut dirampas dua buah bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan bekalan diesel dianggar bernilai RM3 juta.

Agensi Penguatkuasaan Maritim menahan dua bot nelayan Vietnam pada jarak 93 dan 118 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu Jumaat lepas. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan 16 nelayan Vietnam dan dua buah bot dinaiki mereka yang menceroboh serta mengambil hasil laut di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata anggota APMM yang membuat rondaan menggunakan kapal maritim (KM) Langkawi berjaya menahan mereka pada jarak 93 dan 118 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu petang Jumaat.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tersebut mendapati seramai 16 kru, termasuk tekong berumur 18 hingga 62 tahun tidak mempunyai sebarang sebarang dokumen pengenalan sah atau lesen untuk memungut hasil laut di perairan negara.

Turut dirampas dua buah bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan bekalan diesel yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

“Mereka juga disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Suffi berkata, kesemua bot dan kru dibawa ke jeti Pusat Tahanan Vesel, Kuala Terengganu bagi proses penahanan dan ujian saringan Covid-19.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“APMM akan terus melaksanakan rondaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) di Terengganu bagi menjamin keselamatan dan mencegah sebarang kesalahan di perairan negara,” katanya.

Beliau turut meminta masyarakat, terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku di perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.