
Mereka dibawa pulang melalui penerbangan Nepal Airlines dari Kuala Lumpur.
Pekerja terbabit meninggal dunia akibat pelbagai sebab semasa bekerja. Ramai warga Nepal bekerja di sini sebagai pengawal keselamatan.
Menurut laporan agensi berita Asian News International (ANI), memetik kedutaan Nepal di Kuala Lumpur, lagi 37 mayat pekerja warga Nepal itu sedang menunggu untuk dihantar pulang.
Seorang ahli keluarga, Nakul BK menyuarakan rasa lega kerana akhirnya menerima mayat adiknya.
Nakul dan isteri adiknya itu sudah membawa mayat itu pulang ke kampung halaman untuk proses membakar mayat.
“Kali terakhir saya bercakap dengannya melalui telefon semasa Tihar (festival cahaya). Beliau berjanji menelefon dan bercakap dengan kami lagi tetapi itu tidak berlaku.
“Kami terkejut apabila kemudiannya menerima berita kematiannya,” kata Nakul kepada agensi berita berkenaan.
Jurucakap Nepal Airlines, Sulekh Mishra berkata pihaknya memutuskan untuk membawa pulang mayat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat bagi syarikat penerbangan itu.
Nepal, dengan jumlah penduduk 30 juta, menyediakan sekitar 382,000 pekerja ke Malaysia. Sebilangan besar warga Nepal dikatakan memasuki negara ini dengan visa pelancong dan menetap lebih lama.
Salah seorang yang meninggal dunia sebelum ini menjadi pekerja sah merupakan bapa kepada Milan Magar, 41, yang berasal dari Dhankuta untuk menerima mayat terbabit.
“Dia bekerja di Malaysia selama 10 tahun. Dia meninggal semasa tidur sebaik pulang dari bertugas,” Milan beritahu ANI.
Milan berkata bapanya meninggal dunia pada 12 Dis tahun lalu, tetapi keluarganya terpaksa menunggu lebih sebulan untuk menerima mayat.