
Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi, Pengkomersialan dan Perkhidmatan STI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata, apabila imuniti kelompok tercapai maka penularan Covid-19 akan dapat dikawal kerana majoriti penduduk sudah memiliki ketahanan terhadap virus itu.
“Apabila kita mempunyai ketahanan dalam kumpulan yang besar terhadap sesuatu virus, kita boleh bergerak dan berhubung dalam keadaan normal.
“Jadi peluang untuk kita membuka ekonomi lebih besar kerana setiap rakyat atau individu telah divaksin,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bual Bicara terbitan Bernama TV malam tadi bertajuk “Covid-19: Kepentingan Vaksin & Imunisasi”.

Imuniti kelompok merujuk kepada keadaan penularan jangkitan yang rendah kerana sebahagian besar masyarakat mempunyai imuniti terhadap jangkitan itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) berkata, hampir 27 juta atau lebih 80% penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan.
Beliau berkata, bekalan vaksin pertama dijangka diterima pada penghujung Feb ini dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac dan program vaksinisasi berjalan secara berperingkat selama 12 bulan.

Sementara itu, felo Akademi Sains Malaysia Madeline Berma berkata, beliau optimis program vaksinisasi Covid-19 akan mempercepatkan usaha merancakkan kembali ekonomi negara, khususnya ekonomi domestik yang terkesan teruk akibat pandemik tersebut.
“Kalau dulu pada awal kemunculan wabak, kita hanya bergantung pada pencegahan dengan cara penjarakan fizikal dan perintah kawalan pergerakan sahaja.
“Tetapi dengan adanya vaksin, ia seolah-olah satu cahaya yang selama ini ditunggu-tunggu kerana dapat menyelesaikan masalah penularan Covid-19,” katanya.