
Upacara memecahkan buah kelapa dalam agama Hindu melambangkan pemusnahan sifat ego, dan dalam kes memecahkan kelapa di tepi jalan, ia juga disifatkan sebagai “pembersihan” untuk pedati Dewa Murugan ketika ia diarak.
Namun dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun ini dan pembatalan sambutan perayaan Thaipusam, tradisi itu turut terhalang.
Namun seorang peniaga di situ berkata, jualan akan berjalan seperti biasa.
Muhammad Anba Rasul berkata, Thaipusam tidak memberi kesan ke atas perniagaannya.
Pemborong kelapa terbesar di wilayah utara itu berkata, permintaan kelapa ketika musim perayaan Thaipusam hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah permintaan yang diterimanya.
Katanya, kebanyakan kelapa dihantar ke pasar basah dan permintaannya dilihat meningkat berikutan lebih banyak orang beradadi rumah tahun lalu semasa PKP, berdasarkan permintaan tinggi terhadap santan.
Anba berkata, sepanjang seminggu sambutan Thaipusam di Pulau Pinang, beliau menjual sekurang-kurangnya 300,000 biji atau lebih kelapa.
Tahun lalu katanya, berlaku penurunan sehingga 110,000 biji kerana perayaan itu dibuat pada skala lebih rendah susulan kebimbangan terhadap pandemik.
“Tetapi pasar basah adalah sasaran utama saya. Biasanya saya menjual lima kali lebih banyak berbanding jualan semasa Thaipusam,” katanya.
Anba berkata, beliau belum menyiapkan stok untuk Thaipusam tahun ini kerana menjangkakan kerajaan mungkin melarang perayaan tersebut memandangkan pandemik yang semakin buruk.
Joel Jeyachandran, 36, yang memiliki kedai pembekal kelapa Joez Coconut, tidak begitu bernasib baik.
Menurut Joel, syarikatnya menanggung kerugian besar kerana perlu membayar pembekal kelapa di Bagan Datuk, Perak bagi 80,000 biji kelapa seperti dijanjikan dalam kontrak walaupun permintaan jatuh.
“Permintaan untuk kelapa turun dari 80,000 (tahun lalu) menjadi sifar tahun ini. Situasi ini dijangka berlarutan sehingga perayaan Tahun Baru Cina dan juga Hari Raya, ” katanya kepada Bernama ketika ditemui di premisnya di Jalan Datuk Keramat.
Katanya, ini kerana kuil tidak akan dibuka untuk sebarang upacara keagamaan semasa perayaan seperti memenuhi nazar dengan memecahkan kelapa.
“Bagaimanapun permintaan kelapa adalah normal untuk keperluan harian seperti santan, kelapa muda dan produk minuman yang kami jual seperti ‘coconut shakes’, jeli kelapa dan produk lain,” katanya, selain menambah bahawa beliau akan berusaha mengurangkan kerugiannya dengan menjual kelapa.
Di Petaling Jaya, Shamini Perayya, pemilik SM Fresh Coconuts Enterprise, juga menjangkakan penurunan besar dalam jualan semasa Thaipusam.
“Kami dulu dapat jual 30,000 atau 40,000 biji kelapa semasa Thaipusam. Tahun ini saya jangka jualan sifar. Sama seperti tahun lepas,” katanya.
Syarikatnya mengedar kelapa kepada sebuah syarikat yang kemudian mengedarkannya ke pasar raya seperti Giant, Tesco, Jaya Grocer dan Village Grocer.
Shamimi berkata, jualan menurun separuh sejak PKP bermula tahun lepas.
Dengan sekatan pergerakan PKP di seluruh negara kini, Shamini berkata, jumlah jualan bulanan sebelum ini sebanyak 500,000 kelapa kini berkurang menjadi 250,000 atau 300,000 biji.
“Sebelum PKP, kami biasa boleh dapat satu lori sehari (untuk ambil kelapa). Sekarang mungkin satu lori setiap dua atau tiga hari.”
Ed Wynn Ong, pengarah urusan Pandan Coconuts (M) Sdn Bhd berkata, perayaan Thaipusam bukan satu-satunya sebab pemborong kelapa kini berdepan masa sukar.
Ong yang membekalkan kelapa ke kedai makanan dan minuman (F&B), kedai buah-buahan dan gerai tepi jalan di Lembah Klang berkata, perniagaan itu secara amnya, menerima kesan teruk akibat pelaksanaan PKP.
“Bukan Thaipusam sahaja. Jualan kami terjejas sepanjang PKP (termasuk yang pertama tahun lepas),” katanya.
“Boleh saya katakan PKP menyaksikan penurunan jualan sebanyak 70%. Walaupun dulu kami menjual sekitar 10,000 kelapa sebulan, sekarang kami hanya dapat usahakan 3,000.”