Pengusaha hotel Sarawak rayu subsidi upah, diskaun utiliti 50%

Pengusaha hotel Sarawak rayu subsidi upah, diskaun utiliti 50%

Pengecualian yuran lesen kerajaan negeri sebanyak RM20 sebilik tidak banyak membantu, kata persatuan pengusaha hotel.

Pengusaha hotel di Sarawak mengalami kerugian perniagaan dengan Kuching, Sibu dan Miri diisytiharkan sebagai zon merah Covid-19. (Gambar Facebook)
KUCHING:
Pengusaha hotel di Sarawak berharap kerajaan negeri akan memperkenalkan program subsidi upahnya sendiri bagi membantu industri itu.

John Teo, pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia cawangan Sarawak berkata, langkah dalam program bantuan kerajaan negeri tidak mencukupi bagi memastikan perniagaan hotel dan rumah penginapan kekal bertahan semasa pandemik Covid-19.

Antara langkah yang diumumkan oleh Ketua Menteri Abang Johari Openg ialah pengecualian yuran lesen hotel dan rumah penginapan bagi tahun ini melibatkan 17,300 bilik, yang akan memberi manfaat kepada lebih 340 pengendali.

Beliau juga mengumumkan bahawa pengguna domestik, komersial dan perindustrian akan diberi potongan antara 5% hingga 25% bagi bil elektrik dan diskaun sebanyak 10% hingga 25% untuk bil air.

John Teo.

Bagaimanapun Teo berkata, pengecualian yuran lesen untuk pengusaha hotel itu hanya sebanyak RM20 setiap bilik, yang tidak banyak membantu.

“Kalau seorang pengendali ada 10 bilik, hanya RM200 (dikecualikan) setahun,” katanya kepada FMT.

“Kita sebenarnya sangat perlukan subsidi upah sebanyak 50% untuk pekerja serta diskaun 50% ke atas bil air dan elektrik.”

Katanya, hotel di Sarawak menderita selama setahun.

“Kami tidak yakin akan masa depan menjadi lebih cerah. Saya percaya tidak untuk tahun ini.

“Dengan sempadan ditutup dan tiga bandar utama, iaitu Kuching, Sibu dan Miri, ketika ini merupakan zon merah Covid-19, perjalanan domestik masih terhalang, apatah lagi pelancong asing?

“Tanpa bantuan kerajaan, kami tertanya-tanya berapa banyak hotel yang akan muflis menjelang akhir tahun ini.”

Beliau berkata, kebanyakan pengusaha hotel memerlukan tahap penghunian bilik sekurang-kurangnya 50% bagi menampung perbelanjaan.

“Saya tidak rasa kita dapat mencapainya tahun ini walaupun vaksin Covid-19 akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.