Negeri Sembilan benar solat Jumaat ikut kapasiti masjid, SOP ketat, kata mufti

Negeri Sembilan benar solat Jumaat ikut kapasiti masjid, SOP ketat, kata mufti

Kebenaran solat Jumaat tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pemantauan SOP kehadiran jemaah dilakukan oleh JHEAINS dengan bantuan polis.

Tangkap layar video tular yang mendakwa kehadiran jemaah solat Jumaat di sebuah masjid di Seremban semalam tidak mematuhi SOP pencegahan wabak Covid-19.
PETALING JAYA:
Pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di Negeri Sembilan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dibenarkan dengan kehadiran jemaah berdasarkan kapasiti ruang masjid dan surau.

Mufti Negeri Sembilan, Mohd Yusof Ahmad, mempertahankan keputusan itu dengan berkata, walaupun kebenaran itu diberikan, namun semua jawatankuasa masjid dan surau diminta mengikut SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Sebenarnya tidak apa yang baru. Negeri Sembilan hanya meneruskan kebenaran solat Jumaat yang dahulu (membenarkan kehadiran mengikut kapasiti) dengan mengetatkan SOP yang dipantau oleh JHEAINS dengan kerjasama pihak polis,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas klip video tular semalam yang dirakam seorang pemandu kononnya kebenaran solat Jumaat di Masjid At-Taqwa di Kampung Sentosa, Seremban tidak mengikut SOP PKP.

Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad.

“Masa (PKP) Covid-19 boleh ke ratus-ratus orang masuk masjid begini? Untuk apa? Orang lain duduk rumah. Ini SOP apa? Ada yang tak pakai topeng, ada yang pakai,” kata pemandu berkenaan dengan merakam video orang ramai keluar masjid selepas solat Jumaat semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Seremban, Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya turut hadir membantu JHEAINS memastikan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan untuk solat Jumaat.

“Memang SOP dipantau oleh pihak Majlis Agama dan kita (polis) hanya bantu. Peraturan dibuat oleh majlis. Saya difahamkan sememangnya mereka ada (SOP).

“Kita bantu dan SOP pematuhan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri,” katanya ketika dihubungi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun sebelum ini memaklumkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di negeri itu sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP dibenarkan dengan kehadiran jemaah berdasarkan kapasiti ruang masjid dan surau.

“Jemaah diwajibkan membawa sejadah sendiri yang bersaiz besar, memakai pelitup muka, perlu mengambil wuduk di rumah dan mematuhi had keluasan melakukan ibadah dalam ruang utama masjid sahaja,” kata Aminudin.

Beliau berkata, rumah ibadat bukan Islam pula dibenarkan mengadakan aktiviti sembahyang sahaja dan tidak dibenarkan mengadakan acara sambutan, majlis perayaan serta perkahwinan.

Kebenaran jemaah solat di masjid adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli berkata, aktiviti solat Jumaat di Masjid At-Taqwa tidak melanggar SOP ditetapkan dan pemantauan dibuat oleh polis, penguat kuasa jabatan itu, RELA dan petugas masjid.

”Kapasiti sebenar Masjid At-Taqwa tanpa mengambil kira penjarakan fizikal adalah seramai 3,000 orang, manakala kapasiti dibenarkan dengan penjarakan fizikal seramai 1,200 orang.

“Bagaimanapun jemaah yang dilaporkan hadir pada hari tersebut adalah seramai 900 orang sahaja.

“Hal ini selaras dengan arahan kerajaan negeri membenarkan rumah ibadah dibuka untuk tujuan ibadah, bukan untuk upacara keramaian.

“JHEAINS menyeru umat Islam di Negeri Sembilan agar mematuhi semua SOP yang ditetapkan semasa berada dalam kawasan masjid dan selepas melaksanakan ibadah supaya tidak membuka ruang fitnah kepada umat Islam, sekali gus boleh terus melaksanakan ibadah dengan tenang di samping menghidupkan masjid dan surau.

“Tohmahan sebeginilah yang sepatutnya dielakkan oleh umat Islam bagi menjaga kesucian dan kemurnian agama,” katanya selain memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang melanggar SOP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.