
Mereka ialah ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong dan ADUN Derga, Tan Kok Yew.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shkri Mat Akhir dipetik Sinar Harian mengesahkan dua wakil rakyat DAP itu sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Teh dipetik akhbar itu sebagai berkata, beliau dan Tan memberi keterangan kepada polis kira-kira 45 minit pada Jumaat lalu kerana menyertai upacara sembahyang selepas sebuah kuil Hindu di kawasan terbabit dirobohkan.
Katanya, beliau tidak menyertai perhimpunan haram dan mereka menghadiri upacara sembahyang itu atas jemputan jawatankuasa kuil terbabit yang dirobohkan pihak berkuasa tempatan pada Julai 2020.
“Namun begitu, saya bersedia memberi kerjasama untuk membantu siasatan,” katanya kepada akhbar itu hari ini.
Sementara itu, Tan menerusi catatan di Facebook berkata, beliau dan Teh disoal siasat polis susulan laporan yang mendakwa mereka menyertai perhimpunan haram berdasarkan sekeping gambar diambil tahun lalu.
“Inilah nasib dan ‘layanan istimewa’ (kepada) YB pembangkang?
“Gambar ini diambil pada Julai tahun lepas semasa upacara sembahyang setelah kuil Hindu ini dirobohkan oleh pihak berkuasa.”
Tan berkata, Malaysia ialah negara berbilang kaum dan semua etnik mempunyai kebebasan meraikan perayaan masing-masing.
Katanya, menjadi amanah pemimpin untuk memastikan kepelbagaian masyarakat majmuk dikembangkan, hakikat sejarah diwarisi dan dipelihara, semangat persaudaraan terus diperkukuhkan dalam negara ini.