
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kedua-dua ubat tersebut adalah Ivermectin (IVM) dan Favipiravir.
IVM disenaraikan sebagai ubat penting oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai ubat anthelminthic yang digunakan untuk merawat pelbagai serangan parasit.
“Ia murah, mudah didapati, dan selamat digunakan, dan di Malaysia hanya dilesenkan untuk digunakan pada haiwan,” katanya di Facebook.
Favipiravir pula ubat anti-virus, malah kementerian sebelum ini berkata akan mempertimbangkan ubat ini untuk digunakan dalam merawat pesakit Covid-19.
Hisham berkata, beberapa doktor menggunakan kembali IVM, yang mempunyai sifat antivirus terhadap virus RNA dan DNA, terhadap Covid-19.
Beliau berkata kini terdapat laporan yang menunjukkan manfaat mempreskripsikan IVM bagi kes Covid-19 peringkat awal sebagai cara menghadkan beban virus dan mencegah perkembangan penyakit yang teruk atau jangkitan daripada individu ke individu lain.
“Satu kajian rintis yang diterbitkan di Lancet beberapa hari lalu menunjukkan beberapa hasil yang menjanjikan tetapi para penulis menyimpulkan kajian itu memerlukan diteroka lebih lanjut menerusi ujian yang lebih besar dengan hasil klinikal pada pesakit dengan faktor risiko atau penyakit yang lebih parah.
“Pendapat terkini mengenai IVM adalah data tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan profilaksis atau rawatan Covid-19.”
Oleh itu, katanya, pakar dari Institut Penyelidikan Klinikal dan bahagian Penyakit Berjangkit kementerian sedang dalam proses membangunkan percubaan klinikal untuk IVM dan Favipiravir.
“Kami akan mengemas kini hasilnya pada waktunya,” katanya.