
Awal, atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 39, yang memfailkan tuntutan itu terhadap Naz Empire Sdn Bhd menerusi Tetuan Azlan Razak & Associates pada 30 Dis lalu, menuntut semula wang pendahuluan RM100,000 dan kos baik pulih sebanyak RM650,000 serta faedah, selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Tuntutan itu mendakwa pelakon tersebut menyatakan hasrat kepada Naz Empire untuk menarik balik tawaran bagi melakukan kerja pengubahsuaian rumah di Sunway Damansara, tetapi menerima tawaran bagi kerja pengubahsuaian di kediamannya yang lain di Sri Hartamas.
“Naz Empire bersetuju menaja kos kerja perkayuan bagi bilik tidur utama rumah Sri Hartamas dan turut menawarkan untuk menaja sebahagian daripada kos kerja pengubahsuaian dapur di rumah terbabit dan sebagai balasan, Naz Empire mencadangkan kepada saya untuk mengiklankan serta mempromosikan syarikatnya di media sosial, selepas semua kerja tersebut disempurnakan,” katanya dalam tuntutan itu.
Awal berkata, pada 25 Julai 2019, kedua-dua pihak memeterai kontrak yang menyaksikan pelakon itu melantik Naz Empire sebagai kontraktor bagi kerja pengubahsuaian dapur kering, ruang keluarga, ruang tamu, dapur basah, ruang solek, serambi dan dapur tambahan serta kerja pengubahsuaian yang ditaja membabitkan empat bilik tidur rumah di Sri Hartamas yang perlu diselesaikan pada 8 Feb 2020.
Pada 21 Okt 2019, Awal mendapati kerja pengubahsuaian dapur tidak seperti yang dipersetujui dan Naz Empire juga gagal hadir pada temu janji ditetapkan bagi membincangkan perkara itu hingga beliau menghantar satu mesej kepada syarikat terbabit supaya menghentikan kerja tersebut, selepas tidak memberi kerjasama dalam menangani masalah berkenaan.
“Saya akhirnya memberi Naz Empire dua pilihan, sama ada menyiapkan kerja itu tanpa menerima pembayaran tambahan atau syarikat itu menghentikan kerja tersebut dan memulangkan wang pendahuluan RM80,000 daripada RM100,000 yang diberikan kepada Naz Empire.
“Naz Empire kemudian bersetuju untuk menghentikan kerja tersebut dan terus menyiapkan kerja yang ditaja. Namun, Naz Empire masih gagal memberikan lakaran reka bentuk berserta ukuran dan pelan lantai selepas diminta, sebaliknya hanya menunjukkan lakaran itu melalui paparan skrin komputer milik syarikat berkenaan.”
Awal mendakwa beliau sekali lagi meminta syarikat itu memulangkan RM80,000 daripada wang pendahuluan yang sudah dibayar sebagai kos ganti rugi untuk melantik kontraktor baru menyempurnakan kerja itu, namun Naz Empire sering mengelak menjawab panggilan atau membalas mesejnya dan pembantu menerusi WhatsApp.
Sementara itu, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Awal ketika dihubungi berkata, mahkamah menetapkan 27 Jan untuk pengurusan kes.
Pada 13 Nov tahun lalu, Naz Empire telah memfailkan saman terhadap Awal dan dua lagi individu yang merupakan rakan kongsi perniagaan atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise, iaitu Nawal Yasmin Mat Noh serta Muhammad Hilmi Zulkifli kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung kerja pengubahsuaian di kediaman selebriti itu.