
“Alhamdulillah, pagi ini saya menerima perkhabaran menggembirakan apabila keputusan ‘swab test’ yang dijalankan adalah negatif.
“Pagi ini tepat 7.44 pagi, doktor menghubungi isteri saya memaklumkan perkhabaran ini,” katanya di Facebook.
Zahid berkata, selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Avisena, Shah Alam semalam, beliau sudah mengambil langkah pencegahan dengan melakukan kuarantin kendiri daripada isteri, anak-anak serta cucunya dengan mengikut SOP ditetapkan.
“Saya mendoakan anda semua menjaga kesihatan dan memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19,” katanya.
Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak dalam catatan di laman sosialnya turut memaklumkan beliau negatif wabak berkenaan.
“Rasanya ini kali ke-15 saya membuat saringan Covid-19. Setiap kali hadir ke Dewan Rakyat, buat ujian.
“Rentas negeri, dicucuk hidung lagi. Ada kontak rapat yang disahkan positif Covid, buat ujian lagi.
“Alhamdulillah, ujian terbaru dibuat semalam juga negatif,” katanya.
Terdahulu, Zahid dan Najib dilaporkan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Umno bahagian di Menara Dato Onn, yang turut dihadiri Tajuddin beberapa hari lalu.
Tajuddin kini menjalani kuarantin di rumah. Selain Tajuddin, Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamad Nazri Aziz juga positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin di sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.