Sarawak umum bantuan khas Covid-19 RM405 juta

Sarawak umum bantuan khas Covid-19 RM405 juta

Pengecualian sewa enam bulan untuk sektor peruncitan yang beroperasi di premis milik agensi bawah kerajaan negeri antara 11 langkah diumumkan ketua menteri.

Abang Johari Openg berkata, diskaun utiliti sebanyak 5% hingga 25% akan diberikan kepada pengguna domestik, komersial, dan industri sehingga Jun ini. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Ketua Menteri Abang Johari Openg mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 untuk membantu mereka yang terjejas dengan impak ekonomi Covid-19.

Katanya, program bantuan bernilai RM405 juta itu merangkumi 11 langkah, termasuk pengecualian bayaran lesen hotel yang dijangka memanfaatkan lebih 340 hotel dan rumah tumpangan.

Beliau berkata, penggunaan domestik, komersial dan industri akan menikmati diskaun bil elektrik antara 5% hingga 25% dari Januari hingga Jun yang akan memanfaatkan 642,000 isi rumah di Sarawak.

“Bagi bil air, mereka akan menikmati diskaun antara 10% dan 25% untuk enam bulan pertama tahun ini,” katanya dalam sidang media melalui Zoom.

Kerajaan negeri turut menawarkan diskaun 50% untuk sewa kediaman di bawah Skim Perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak dan potongan 50% bagi sewa pasar dan gerai sehingga Jun ini.

Satu lagi langkah ialah pengecualian bayaran permit dan lesen untuk penjaja, peniaga pasar malam dan tamu dari bulan ini hingga Jun.

Bagi sektor peruncitan, mereka yang beroperasi di premis milik syarikat berkaitan kerajaan negeri dan badan berkanun akan menikmati pengecualian sewa untuk enam bulan pertama tahun ini.

Abang Johari berkata, diskaun 25% akan diberikan kepada taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 bagi pemilik kediaman, premis komersil, industri dan pegangan khas, serta diskaun 30% untuk cukai tanah bagi komersial, industri, kediaman, ladang berskala besar dan kemudahan awam lain.

“Kami turut menawarkan penangguhan ‘one-off’ ke atas premium tanah bagi unit pertanian, kediaman, komersial dan industri, juga institusi swasta dan awam untuk tahun ini.”

Akhir sekali, moratorium pembayaran balik pinjaman ditawarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana selama enam bulan bermula Januari.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan kajian untuk menentukan kaedah bantuan kewangan dan pinjaman bagi menyokong PKS di Sarawak, yang akan diumumkan dalam dua minggu lagi.

“Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan akan berusaha melaksanakan langkah terbaik untuk membantu rakyat serta perniagaan. Kami berharap keadaan akan lebih baik selepas Jun.”

Kerajaan Sarawak memberikan pelbagai bantuan bawah empat pakej BKSS terdahulu yang melebihi RM2.6 bilion sejak Mac 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.