
Pengerusi Sahruddin Jamal berkata, setakat ini pihaknya menerima 79 laporan pekebun nanas yang terjejas membabitkan kawasan seluas 62.55 hektar.
“Jumlah nilai keseluruhan yang terjejas adalah RM2.9 juta dan negeri paling terjejas adalah Pahang dengan nilai RM2 juta, diikuti Johor (RM760,000) dan lain-lain negeri seperti Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor.
“Laporan pekebun terjejas banjir ini sudah dikemukakan kepada pihak MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) bagi tujuan permohonan bantuan yang akan ditentukan di bawah Tabung Bencana Pertanian,” katanya pada sidang media di Bangunan LPNM.
Sahruddin berkata, peruntukan disediakan bagi tabung bencana LPNM setakat ini adalah RM200,000 sebagai permulaan, yang meliputi bantuan ganti rugi untuk input pertanian dan infrastruktur dengan kos RM2,500 per hektar dan maksimum empat hektar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata LPNM hingga hari ini masih tidak menggalakkan penanaman nanas menggunakan benih tisu kultur kerana dibimbangi akan memberi kesan kepada buah yang dihasilkan.
“Untuk MD2 hingga hari ini, kita tidak galakkan tisu kultur kerana MD2 (adalah) gabungan beberapa variati gen, jadi kalau kita tisu kulturkan (ia), tidak akan dapat MD2 yang asli,” katanya.