
Setiausahanya, Abdul Razak Ismail melihat kerjasama dengan kumpulan Mahathir dan Umno tidak menguntungkan PH, sebaliknya berkata gabungan PKR, DAP dan Amanah itu hanya akan dipergunakan.
“Dr Mahathir atau Umno akan ‘mempergunakan’ PH untuk tujuan ‘barter trade’ dengan Muhyiddin demi kepentingan peribadi atau parti masing-masing,” kata beliau.
Razak dan kumpulannya tidak faham berhubung “kegilaan PH mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir” dan tidak nampak kekuatan bekas perdana menteri itu dengan Pejuang hanya mempunyai empat Ahi Parlimen.
“Otai Reformis sebulat suara menolak sekeras-kerasnya kerjasama dengan Mahathir. Kami tiada tolak ansur dalam isu melibatkan Mahathir”, katanya kepada FMT.
Razak mengulas kenyataan, Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar bahawa kesediaan Mahathir menerima Anwar sebagai perdana menteri sekiranya presiden PKR memperolehi sokongan mencukupi di Dewan Rakyat adalah petanda baik ke arah membentuk gagasan perdana pembangkang untuk menawan Putrajaya.
Mahfuz berharap dengan sokongan bekas perdana menteri itu, Anwar bersama PH boleh mempergiatkan usaha mengukuhkan kerjasama dengan blok pembangkang lain, termasuk kumpulan yang dipimpin Mahathir .
Razak pula bertanya sama ada kenyataan Mahfuz itu dibuat kerana Ahli Parlimen Pokok Sena itu “kebulur” jawatan timbalan menteri seperti yang disandangnya ketika PH menguasai Putrajaya.
Menurut beliau rakyat masih ingat “pengkhianatan” Mahathir yang letak jawatan pada Feb tahun lepas menyebabkan kerajaan PH runtuh.
“Otai tidak nampak keperluan PH bekerjasama semula dengan Mahathir atau Pejuang kerana kelicikan politik Mahathir besar kemungkinan akan sekali lagi menyebabkan PH dipatuk ular buat kali kedua di lubang yang sama.”
Beliau juga mendakwa beberapa pemimpin parti komponen PH mengadakan rundingan sulit dengan kumpulan Mahathir tanpa mendapat konsensus gabungan.
Bagaimanapun katanya, menurut maklumat yang ditermia daripada pimpinan PH sendiri, Mahathir tidak pernah secara terbuka dan jelas menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai calon perdana menteri.
Razak menyarankan supaya pimpinan PH melupakan hasrat atau cadangan kerjasama dengan Mahathir dan sebaliknya meningkatkan aktiviti menambah ahli parti masing masing bagi menghadapi PRU 15.
Beliau juga berkata, PH perlu kembali fokus membela nasib rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19 .
“Tiada usaha proaktif dibuat oleh pimpinan PH untuk membantu rakyat yang tertekan ekoran pandemik ini di negeri bukan di bawah pentadbiran PH.
“Sekiranya pimpinan PH dapat membantu mereka, ini boleh mengembalikan sokongan rakyat pada PRU 15 kelak ,” katanya.