KKM sasar 100,000 ujian RT-PCR sehari

KKM sasar 100,000 ujian RT-PCR sehari

Ketua pengarah kesihatan berkata perancangan KKM ialah meningkatkan kapasiti keupayaan kepada 150,000 ujian RT-PCR.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada hanya 23 makmal yang memproses 1,000 ujian RT-PCR pada permulaan, kini terdapat 68 makmal dalam sektor awam dan swasta yang memproses 70,000 ujian sehari di seluruh negara. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan kapasiti makmal Covid-19 ditingkatkan untuk memproses 100,000 ujian RT-PCR setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada hanya 23 makmal yang memproses 1,000 ujian RT-PCR pada permulaan, kini terdapat 68 makmal dalam sektor awam dan swasta yang memproses 70,000 ujian sehari.

“Kita tumpu kepada kes positif dan kontak rapat. Itu keutamaan kita jalankan.

“Melihat kepada keupayaan RT-PCR, kita akan tingkatkan lagi kepada 100,000 ujian RT-PCR.

“Perancangan KKM ialah tambah kapasiti keupayaan (memproses) 150,000 ujian RT-PCR,” katanya dalam sidang media.

Sementara itu, Hisham berkata, di bawah kuasa darurat, profesional penjagaan kesihatan di sektor awam boleh dihantar ke sektor swasta, dari sebuah hospital ke hospital lain.

“Sebelum ini, anda perlu mengisytiharkan di mana anda bekerja, tetapi kini mereka boleh ke mana-mana selagi khidmat mereka diperlukan,” katanya sambil menambah ini akan membantu KKM memaksimumkan sumber tenaga kerja.

Selepas Pusat Penilaian Covid-19 ditubuhkan, Hisham berharap hospital swasta boleh menerima kumpulan pesakit tertentu, seperti ekspatriat, yang kebanyakannya sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya, doktor akan diminta membantu KKM memantau pesakit Covid-19 yang dirawat di rumah.

“Seperti yang saya katakan, sesetengah hospital swasta sudah merawat pesakit positif Covid-19 di wad mereka dan ICU. Tetapi, kita akan cuba selaraskan dari segi memperkemaskan kes. Kami berharap kami boleh laksanakannya menjelang minggu depan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.