Kenyataan tak masuk akal, kata Saravanan

Kenyataan tak masuk akal, kata Saravanan

Timbalan presiden MIC anggap kenyataan menteri besar Kedah merendahkan martabat penganut di negeri itu.

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor terus dikecam pemimpin MIC berhubung penarikan cuti peristiwa Thaipusam di negeri itu.

Timbalan presiden MIC M Saravanan berkata tiada kerajaan negeri selain daripada Kedah, yang ditadbir PAS, yang mengumumkan menarik balik cuti berkenaan.

(Thaipusam adalah cuti umum negeri di Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Penang, Perak, Putrajaya dan Selangor, dan cuti peristiwa di Kedah).

Saravanan berkata dakwaan Sanusi bahawa beliau tidak bermaksud menafikan hak penganut Hindu untuk menyambut Thaipusam tidak masuk akal malah ‘merendahkan martabat orang Hindu di negeri itu.’

Beliau mencabar Sanusi menamakan tiga kumpulan Hindu didakwa ditemuinya sebelum membuat keputusan untuk tidak mengumumkan cuti peristiwa.

“Menteri besar sepatutnya mengadakan mesyuarat dengan semua wakil masyarakat Hindu termasuk parti politik,” katanya.

Terdahulu hari ini, Sanusi mempertahankan keputusannya untuk tidak membenarkan cuti upacara bagi Thaipusam pada 28 Jan dan mempertikaikan sama ada MIC pernah melobi untuk cuti umum di Kedah ketika membentuk sebahagian daripada kerajaan persekutuan Barisan Nasional selama beberapa dekad.

Saravanan berkata, MIC sentiasa mempunyai hubungan baik dengan PAS, namun semakin teruji selepas Sanusi menjadi menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.