Individu terlibat minum bir di PKRC sudah dipanggil polis

Individu terlibat minum bir di PKRC sudah dipanggil polis

Semua mereka diambil keterangan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

KOTA KINABALU:
Ketua Polis Kota Kinabalu, Habibi Majinji, berkata pihaknya memanggil lapan individu termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat meminum minuman keras di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) baru-baru ini.

Katanya, semua mereka diambil keterangan bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

“Semua individu terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit No.9,” katanya ketika ditemui.

Baru-baru ini, satu video tular menunjukkan sekurang-kurangnya lapan individu terbabit dalam aktiviti minum minuman keras di pusat berkenaan.

Video berdurasi 12 saat itu memaparkan seramai enam lelaki dan dua wanita sedang memegang tin minum arak jenis bir.

Dalam kes berasingan, Habibi berkata, seramai 29 individu dikenakan kompaun selepas didapati ingkar pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini, sejak 13 Januari lalu.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Selain itu katanya, polis turut mengarahkan 300 kenderaan berpatah balik di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan daerah ini.

“Ia bagi menghalang pengguna jalan yang tidak mempunyai alasan kukuh meneruskan perjalanan rentas daerah.

“Semua pengguna jalan raya itu diarah berpatah balik berdasarkan alamat pada kad pengenalan pemandu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.