
“Tidak ada cuti peristiwa. Oleh kerana tidak ada perayaan tahun ini, tidak ada cuti umum (pada 28 Jan),” kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Sambutan Thaipusan sebelum ini adalah cuti peristiwa di Kedah, Pulau Pinang, Selangor.
Hanya Kedah membatalkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa tahun ini. Pulau Pinang dan Selangor tidak berbuat demikian, sungguhpun sambutan pelbagai acara bersempena Thaipusan dibatalkan kerana wabak Covid-19.
Sanusi berkata, SOP ketat dilaksanakan bagi penganut yang akan ke kuil untuk bersembahyang dengan mengehadkan jumlah mereka kepada satu pertiga daripada kapasiti rumah ibadat berkenaan.
“Contohnya, jika kuil berkenaan boleh menampung 100 orang, hanya 33 dibenarkan memasukinya,” katanya.
Upacara membabitkan pembawa kavadi tidak dibenarkan.
Beliau berkata, SOP ketat juga akan dilaksanakan untuk sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.
Katanya, mana-mana wakil rakyat yang ingin menghadiahkan limau mandarin kepada orang ramai hanya boleh berbuat demikian menerusi sistem pandu lalu.