
Pengerusinya Rais Hussin berkata, tidak ada kejadian 16 eksekutif MDEC mengundurkan diri sekali gus, seperti mana digembar-gemburkan di media sosial.
Beliau akur beberapa pegawai eksekutif berundur namun menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam mana-mana organisasi.
“Tidak, saya rasa tidak ada peletakan jawatan sekali gus kerana mereka yang berkenaan mengemukakan surat pada tarikh berbeza, dan dengan alasan berlainan.
“Memang ada yang meletak jawatan tetapi tidak sampai 16,” katanya kepada FMT.
Rais berkata, adalah normal di setiap organisasi besar untuk kakitangan berundur pada akhir atau awal tahun kerana mereka mencari peluang baru.
Beliau berkata, setiap organisasi mempunyai cabaran tersendiri dan “perkara yang perlu kita ubah dan perbaiki. Tidak ada krisis. ”
Katanya, MDEC tetap menjadi organisasi yang menjadi tarikan kerjaya untuk ramai pihak.