PKP jadikan kanak-kanak berkeperluan khas lebih memerlukan

PKP jadikan kanak-kanak berkeperluan khas lebih memerlukan

Seorang ibu berkata, beliau terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya yang autistik.

Kanak-kanak di pusat berkeperluan khas. (Gambar Headstart Academy Shah Alam, Special Needs Edcuation Centre)
PETALING JAYA:
Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan Mac lalu, Yogesh Mohan dan suaminya berdepan masalah menjaga anak mereka yang autistik, berikutan semua pusat pembelajaran dan jagaan untuk kanak-kanak berkeperluan khas terpaksa ditutup.

Yogesh adalah jurubahasa mahkamah dan kerja suaminya berkaitan IT.

“Kami tidak tahu apa yang perlu dibuat kerana tidak dapat menghantarnya kepada sesiapa pun untuk dijaga,” katanya kepada FMT.

“Dia sudah biasa dengan rutin. Sebelah pagi, dia akan pergi ke sekolah, dan kemudian ada program selepas sekolah.

“Sejak pandemik bermula, semuanya digantung.”

Yogesh akhirnya meletak jawatan supaya dapat menjaga anak lelakinya, menyebabkan keluarganya kehilangan pendapatan yang besar.

Katanya, kehidupan mereka kini sukar apabila keluarganya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami.

Anaknya didiagnos dengan ADHD (gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif) ketika berusia setahun setengah. Dia kini berusia tujuh tahun.

Yogesh menggunakan bahan dalam talian untuk mengajar anaknya dan melakukan pelbagai aktiviti bersamanya.

“Saya buat ‘folder’ untuk bahan-bahan (mengajar) sendiri dan lakukan yang terbaik untuk memastikan dia memahami setiap topik.”

Katanya, menghantar anak autistik ke pusat pembelajaran khas memerlukan perbelanjaan mahal dan ramai pasangan bergelut untuk membayar yuran bulanan itu, “yang boleh mencecah RM8,000, RM10,000 malah kadang-kadang RM15,000”.

Sesetengah sekolah mempunyai program dalam talian, tetapi Yogesh berkata, sesi mereka sukar diikuti kanak-kanak autistik.

“Untuk anak saya duduk 15 minit dalam kelas pun susah. Dan dengan tugas mengajar yang diberikan, ibu bapa yang akhirnya perlu mengajar mereka di rumah. Namun, kami masih perlu membayar yuran itu sepenuhnya.”

Kerajaan membenarkan perkhidmatan di rumah, bersemuka untuk autisme sejak PKP dilaksanakan tahun lalu.

April lalu, Majlis Keselamatan Nasional (MKN) berkata, pakar terapi swasta untuk orang kelainan upaya dan individu dengan autisme dibenarkan ke rumah pesakit, tertakluk kepada SOP kesihatan dan keselamatan yang ketat.

Jochebed Isaacs, pengarah Early Autism Project Malaysia, berkata sekatan pergerakan ialah tamparan besar bagi mereka yang bergantung kepada program berasaskan kumpulan di pusat pembelajaran.

Katanya, pembelajaran dalam talian bukanlah alternatif baik kerana terdapat pelbagai jenis autistik.

“Kita hanya boleh menggalakkan anak berfungsi tinggi yang boleh berinteraksi dan menggunakan komputer dengan baik untuk melakukan pembelajaran mereka dalam talian.”

Beliau berkata, sesetengah kanak-kanak akan keliru apabila menghadapi perubahan mendadak dalam rutin harian mereka.

“Sesetengah kanak-kanak sukar hadapi perubahan. Mereka mungkin mula menunjukkan sifat agresif atau tingkah laku lain yang mencabar, seperti tingkah laku yang mencederakan diri.”

Beliau menasihatkan ibu bapa menyediakan jadual harian mudah untuk anak bagi memberikan rutin baru kepada mereka.

Organisasi beliau menyediakan program dalam talian percuma untuk ibu bapa dengan anak autistik. Mereka boleh mengaksesnya di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.