Naikkan yuran supaya pesakit tak buang ubat, kata MMA

Naikkan yuran supaya pesakit tak buang ubat, kata MMA

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia berkata, kerajaan juga boleh menggunakan rekod elektronik untuk elak pembaziran.

Satu laporan berkata, ubat bernilai jutaan ringgit dibuang ke tong sampah atau dikembalikan kepada klinik atau hospital kerajaan.
PETALING JAYA:
Pakar perubatan mencadangkan kerajaan menggunakan rekod perubatan elektronik atau menaikkan yuran perundingan untuk mengelakkan pesakit memulangkan ubat mereka atau membuangnya.

Menurut satu laporan baru-baru ini, ubat-ubatan bernilai jutaan ringgit yang diberikan kemudahan kesihatan kerajaan tetap tidak digunakan pesakit, malah dibuang atau dikembalikan kepada hospital atau klinik berkenaan.

Laporan itu memetik ahli farmasi Hospital Kuala Lumpur, Ishmah Musfirah Nazari berkata, ubat yang tidak digunakan itu termasuk untuk tekanan darah tinggi, penyakit kencing manis, jangkitan saluran kencing dan sembelit, serta ubat tahan sakit dan makanan tambahan kesihatan.

Ketika ini, rakyat Malaysia hanya perlu membayar RM1 untuk bertemu pegawai perubatan atau RM5 bagi pakar di mana-mana kemudahan kesihatan kerajaan, dengan yuran itu merangkumi kos ubat.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy berkata, caj murah itu mungkin tidak dihargai ramai.

Dr Subramaniam Muniandy.

Katanya, beliau melihat sendiri pesakit membuang ubat yang mereka dapat dengan harga RM1.

“Ramai pesakit mengambil ubat dan membuangnya atau memulangkan kepada hospital atau klinik, tindakan ini berleluasa.

“Tetapi, ini tidak berlaku di hospital swasta kerana orang terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk ubat-ubatan.”

Katanya, MMA mencadangkan kerajaan menaikkan yuran kepada RM5 untuk bertemu doktor dan RM20 untuk berjumpa pakar.

Beliau berkata, pakar perubatan kerajaan hanya perlu menemui pesakit yang dirujuk doktor swasta bagi memastikan pesakit menghargai nilai wang.

“Doktor swasta terlatih dan pernah berkhidmat dengan kerajaan. Mereka tahu bagaimana menguruskan pesakit,” katanya sambil menambahkan ini turut mengurangkan jumlah pesakit berlebihan di klinik dan hospital kerajaan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, pesakit dikenakan bayaran mengikut jumlah ubat yang mereka ambil,

Amrahi Buang.

Sebelum ini, katanya, pesakit dikenakan bayaran RM10 untuk setiap bekalan ubat tambahan mingguan.

Beliau berkata, kadangkala rakyat ke klinik atau hospital kerajaan hanya untuk mendapatkan sijil cuti sakit, bukan kerana mereka memerlukan rawatan untuk keadaan mereka.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), katanya, pesakit membuang ubat ialah fenomena seluruh dunia, dengan 50% pesakit tidak makan ubat mereka.

Untuk menghentikan tren ini, banyak negara menggunakan rekod perubatan elektronik untuk mengesan senarai ubat pesakit. Rekod ini boleh menghalang sesetengah pesakit “membeli-belah di hospital” yang menyebabkan mereka mengumpul banyak ubat.

Amrahi berkata, ahli farmasi perlu “menguji” pesakit ketika memberikan ubat.

“Untuk lawatan berikutnya, tanya pesakit atau penjaga mereka fungsi setiap ubat. Uji pengetahuan mereka untuk tahu sama ada mereka makan ubat mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.