Peniaga makanan lega kerajaan mungkin benar waktu operasi lebih lama

Peniaga makanan lega kerajaan mungkin benar waktu operasi lebih lama

Mereka juga berharap pelanggan dibenarkan makan di kedai dengan mematuhi SOP ketat.

Pelanggan membeli makanan di sebuah gerai. Peniaga meminta dibenarkan berniaga lebih lama serta pelanggan dibolehkan makan di premis dengan SOP ketat.
PETALING JAYA:
Kerajaan mempertimbang melanjutkan waktu operasi kedai makan di negeri bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ia dialu-alukan ramai pihak.

Dalam catatan di Twitter Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menilai pro dan kontra membenarkan premis makanan dan minuman beroperasi hingga 10 malam.

“Sebarang perkembangan akan diumumkan (Menteri Kanan Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Bawah prosedur operasi standard (SOP) PKP, premis makanan dan minuman hanya boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam. Pengunjung tidak boleh makan di kedai sebaliknya hanya boleh membungkus makanan pulang, membeli secara pandu lalu atau menerima makanan secara penghantaran.

Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) menyambut baik rancangan kerajaan untuk membenarkan operasi kedai makan hingga 10 malam.

Bagaimanapun, presidennya Ho Su Mong menggesa kerajaan turut membenarkan pelanggan makan di premis dengan dua orang bagi satu meja, untuk membantu perniagaan terbabit bertahan.

“Melanjutkan waktu operasi memang baik untuk kami, tetapi kami ingin merayu supaya mereka turut mempertimbangkan semula permintaan kami supaya pelanggan dibenarkan makan di premis dengan mematuhi SOP ketat,” katanya.

“Hanya bergantung kepada perkhidmatan makan pulang dan penghantaran tidak cukup untuk menampung kos kedai makan dan kedai kopi. Kami meminta dibenarkan dua pelanggan untuk satu meja, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Semalam, sekumpulan 21 Ahli Parlimen pembangkang menggesa Putrajaya menyemak semula waktu operasi bagi premis terbabit, supaya dibenarkan beroperasi hingga waktu yang ditetapkan dalam lesen masing-masing.

Kumpulan itu turut menggesa moratorium bagi pinjaman bank dilanjutkan enam bulan lagi, kerana tempoh operasi yang dipendekkan menjejaskan pendapatan golongan yang menjalankan perniagaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.