Lonjakan jangkitan selepas saringan besar-besaran di ladang di Sabah

Lonjakan jangkitan selepas saringan besar-besaran di ladang di Sabah

Saringan besar-besaran dilakukan di estet dan kilang sekitar Sabah.

KOTA KINABALU:
Sabah merekodkan lonjakan jangkitan Covid-19 lagi dengan 526 kes dalam tempoh 24 jam lalu susulan saringan besar-besaran di ladang-ladang di seluruh negeri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata 151 jangkitan dikesan ketika saringan dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terutama di kilang-kilang estet di pantai timur negeri itu.

Jumlah tertinggi direkodkan di Ladang Baturong di Kunak iaitu 73 kes, disusuli ladang Segamaha dan kilang di Lahad Datu (43), Ladang Matamba, Lahad Datu (20) serta Ladang GNG di Kinabatangan (15).

“Semuanya membabitkan pekerja ladang,” katanya.

Jumlah direkodkan hari ini lonjakan tinggi berbanding 432 kes semalam.

Masidi berkata 69.2% atau 364 kes hari ini adalah daripada saringan kontak rapat.

Katanya, secara keseluruhan Sabah kini mempunyai 44,602 kes, dengan 2,849 pesakit masih dirawat di hospital atau pusat rawatan risiko rendah.

Jumlah kematian masih 302 orang tanpa kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.